EKONOMI

MALAYSIA RAIH MANFAAT LIMPAHAN PERMINTAAN PUSAT DATA - MOODY'S RATINGS

24/07/2024 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia meraih manfaat secara langsung daripada peningkatan permintaan pusat data berikutan langkah moratorium selama tiga tahun oleh Singapura untuk menubuhkan pusat data baharu dan mengembangkan kapasiti ekoran tanah yang terhad, kata Moody’s Ratings.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya terdapat peningkatan dalam pelaburan pusat data di Johor, misalnya pembelian tanah oleh penyedia perkhidmatan awan, Microsoft pada bulan lepas daripada Eco World Development Group Bhd untuk pembangunan pusat data baharu.

“GDS Holdings Ltd, pemaju dan pengendali pusat data, telah melabur kira-kira US$3.0 bilion (US$1=RM4.67) untuk membuka dua pusat data di Taman Teknologi Johor.

“Penyedia perkhidmatan awan lain seperti Google dan Amazon telah memberi komitmen untuk melabur, masing-masing US$2.0 bilion dan US$6.0 bilion di Malaysia bagi pusat data dan perkhidmatan awan menjelang 2037,” menurut nota berkenaan. 

Katanya kapasiti pusat data Asia Pasifik (Apac) dijangka menokok lebih dua kali ganda menjelang 2028 memandangkan ketegangan geopolitik akan menghalang pertumbuhan.

Moody's Ratings turut yakin kapasiti pusat data di Apac dan global akan berkembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Keadaan ini didorong peningkatan penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi awan, mata wang kripto selain peningkatan minat terhadap penyumberan luar penstoran dan pengkomputeran data bagi kecekapan dan kebolehskalaan yang memacu pertumbuhan eksponen dalam sektor berkenaan, katanya.

“Kami menjangkakan kapasiti pusat data Apac berkembang pada kadar purata tahunan terkumpul hampir 20 peratus sehingga 2028, kepada kira-kira 24,800 megawatt, iaitu lebih dua kali ganda daripada kapasiti semasa yang melepasi 10,500 megawatt.

“Apac menyumbang kira-kira 30 peratus daripada pengembangan kapasiti global dalam tempoh lima tahun akan datang. Pengembangan ini akan melibatkan pelaburan lebih US$564 bilion menjelang 2028,” katanya.

Moody's Ratings berkata kapasiti di pasaran pusat data sedang pesat membangun termasuk India, Indonesia (Baa2 stabil), Malaysia (A3 stabil), Thailand (Baa1 stabil), dan Filipina (Baa2 stabil), akan mencatatkan kadar pertumbuhan 29 peratus kepada 48 peratus sehingga 2025.

Katanya pertumbuhan ini berikutan jumlah kapasiti sedia ada yang lebih kecil pada masa ini di samping agenda digital kerajaan dan sokongan pelabur.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan