JENAYAH & MAHKAMAH

PERSELISIHAN PERHUBUNGAN DIPERCAYAI PUNCA NUR FARAH KARTINI DIBUNUH

26/07/2024 01:40 AM

HULU SELANGOR, 25 Julai (Bernama) -- Perselisihan perhubungan dipercayai menjadi punca bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan kes itu telah selesai dan suspek akan dituduh atas kesalahan membunuh di Mahkamah Kuala Kubu Bahru, esok.

“Kes Nur Farah Kartini telah selesai dan suspek akan dituduh di mahkamah esok . Kita percaya (punca) ada kaitan perselisihan perhubungan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ‘Program Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Agama: Jenayah Tidak Mengenal Warna Kulit Di Hulu Selangor’ di sini malam ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan.

Hussein berkata pihaknya mempunyai cukup bukti untuk menuduh suspek di mahkamah berdasarkan bahan bukti yang ditemui di beberapa lokasi di sini dan Perak.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan