SUKAN

CUACA PARIS BANTU SYAQIERA CATAT PENCAPAIAN PERIBADI TERBAIK

26/07/2024 12:18 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 25 Julai (Bernama) -- Keadaan cuaca sederhana sekitar 24 darjah celsius antara faktor yang membantu atlet memanah negara, Syaqiera Mashayikh mendapatkan permulaan positif dengan menempatkan diri dalam kedudukan 15 teratas pada pusingan ranking individu acara recurve wanita Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Atlet berusia 23 itu yang beraksi di pentas Olimpik buat kali kedua berkata keadaan itu berjaya membantunya dalam mencatatkan prestasi terbaiknya dengan catatan 663 mata di Invalides yang berlatar belakangkan monumen bersejarah kota ini. 

“Alhamdulillah, keadaan cuaca berpihak kepada kita, tidak begitu panas dan angin pun tak kuat sangat untuk mengatasi catatan peribadi terbaik 649 mata sebelum ini yang dibuat di Piala Dunia bulan lepas,” katanya selepas acara berkenaan. 

Dua lagi wakil negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (633 mata) dan Nurul Azreena Mohamad Fazil (622 mata) masing-masing menamatkan saingan hari ini di kedudukan ke-50 dan 60. 

Keputusan itu menyaksikan skuad negara meraih kedudukan ke-10 bagi acara berpasukan dengan 1,918 mata secara keseluruhan untuk mencabar trio Indonesia, Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia (1,960 mata) yang menduduki ranking ketujuh dalam perebutan slot bagi suku akhir, Ahad ini.

Bagi acara individu, Syaqiera akan bertemu Alexandra Mirca dari Moldova pada Selasa ini manakala Ariana Nur Dania dan Nurul Azreena akan berdepan cabaran sengit masing-masing daripada pemanah di kedudukan ke-15 Chiara Rebagliati dari Itali dan kedudukan kelima, Elif Berra Gokkır dari Turkiye sehari selepas itu.

Mengulas mengenai cabaran di pusingan penyingkiran, Syaqiera berkata mereka akan melakukan persiapan lebih spesifik menjelang beberapa hari lagi selepas mengetahui pencabar bagi pusingan kalah mati itu. 

“Untuk acara berpasukan, kita ada beberapa pengalaman bertemu Indonesia dan kita pastinya akan cuba untuk buat lebih baik pada kali ini dengan persiapan yang lebih teratur. 

“Bagi acara individu, saya tidak pernah bertemu Mirca sebelum ini, jadi akan lawan sehabis yang boleh dan terima apa jua keputusan yang dapat. Saya tidak letakkan sasaran kerana tidak mahu terlalu tertekan...apa yang kita boleh kita buat adalah persiapan dan insya-Allah tunggu hari pertandingan,” katanya.

Sementara itu, Ariana Nur Dania yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan 669 mata, berkata gugup beraksi buat kali pertama di Olimpik, mungkin menjadi punca prestasinya tidak berada pada tahap tertinggi hari ini. 

“Walaupun cuaca tidak terlalu panas atau sejuk, ada sesuatu yang tidak kena dengan kondisi badan saya. Perkara ini memang tak pernah jadi pada saya masa  latihan dan pertandingan, saya pun agak terkejut, mungkin gementar.

“Namun, saya ambil ini sebagai pengajaran untuk masa depan dan ia tidak akan memberikan kesan kepada saya dalam aksi penyingkiran individu dan berpasukan selepas ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan