SUKAN

Paris siap sedia cipta legasi baharu

26/07/2024 12:04 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 26 Julai (Bernama) -- Sukan Olimpik edisi ke-33 yang membuka tirai secara rasminya malam ini hingga 11 Ogos, menandakan kembalinya kota Paris sebagai tuan rumah setelah kali terakhir menganjurkan temasya terbesar dunia itu seabad lepas.

Olimpik 2024 merupakan temasya kali ketiga dianjurkan di kota Paris selepas 1900 dan 1924, menyamai rekod London yang menjadi tuan rumah pada edisi 1908, 1948 dan 2012.

Ketika temasya terakhir berlangsung di Paris, kebanyakan negara masih dalam proses pemulihan kesan daripada Perang Dunia I yang tercetus pada 1914 hingga 1918.

Bagi temasya kali ini, penganjur telah melaksanakan beberapa strategi untuk memastikan kelestarian dan mengurangkan pelepasan karbon ketika menerima kira-kira 10,500 atlet elit yang mengambil bahagian dalam 329 acara daripada 32 jenis sukan.

Sebanyak 95 peratus daripada 35 venue pertandingan merupakan struktur sedia ada atau sementara, dengan Pusat Akuatik di Saint-Denis merupakan satu-satunya tempat baharu yang dibina untuk temasya kali ini. 

Selain itu, beberapa mercu tanda ikonik Paris turut diubah suai menjadi venue pertandingan, memberikan pemandangan menakjubkan untuk para penonton dan pengunjung.

Acara kemuncak Paris 2024 ialah upacara pembukaan yang dijadualkan pada 7.30 malam ini (1.30 pagi Sabtu, waktu Malaysia) di Sungai Seine menjanjikan kelainan luar daripada tradisi perasmian di stadium, dengan 300,000 penonton dapat menyaksikan upacara gilang-gemilang itu dari jambatan dan tebing sungai.

Menurut penganjur, ribuan atlet daripada lebih 200 kontinjen termasuk Pasukan Olimpik Pelarian yang mengambil bahagian dalam Perarakan Negara sejauh 6 kilometer (km) akan belayar melintasi Sungai Seine melalui pusat bandar raya Paris dan melewati tempat-tempat menarik seperti Notre-Dame dan Louvre.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada enam atlet dan empat pegawai akan menyertai perarakan itu dengan diketuai oleh pembawa Jalur Gemilang Bertrand Rhodict Lises daripada acara terjun dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.

Turut sama dalam perarakan kontinjen Malaysia dari Pont d’Austerlitz dan berakhir di Trocadero bersebelahan Menara Eiffel ialah Nur Dhabitah Sabri (akuatik terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (akuatik renang).

Kerajaan Perancis berjaya membersihkan Sungai Seine yang menjadi venue pertandingan renang maraton dan triatlon meskipun masih ada kebimbangan sekiranya hujan lebat yang menyebabkan air kumbahan melimpah ke sungai.

Pihak berkuasa melarang aktiviti berenang di sungai itu sejak 100 tahun lepas kerana masalah pencemaran.

Bagi menunjukkan kejayaan usaha pembersihan yang menelan belanja €1.5 bilion (kira-kiraRM7.5 bilion), Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo dan Presiden Jawatankuasa Penganjur Paris 2024 Tony Estanguet berenang di sungai berkenaan baru-baru ini, dengan sasaran untuk menjadikannya sebagai kawasan berenang awam tahun depan.

Kemasukan acara breakdance juga dilihat dapat menambah 'seri’ kepada Sukan Olimpik kali ini yang dijangka menarik minat golongan belia manakala acara luncur air pula diadakan di Tahiti, terletak 15,000km dari wilayah Perancis.

Malaysia yang membuat kemunculan sulung di Olimpik pada edisi 1956 di Melbourne, memenangi keseluruhan lapan pingat perak dan lima gangsa dengan badminton menjadi penyumbang tertinggi iaitu enam perak dan tiga gangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan