DUNIA

Ringgit Cecah Paras 4.65 Semula Berbanding Dolar US

26/07/2024 07:52 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Ringgit menutup minggu ini lebih kukuh berbanding dolar US, pada 4.6550/6605 hari ini berbanding 4.6600/6625 yang disaksikan semasa penutup Khamis.

Mata wang tempatan itu dirangsang oleh peningkatan jangkaan pasaran mengenai pengurangan kadar faedah oleh Amerika Syarikat ( AS), selaras dengan unjuran Kebarangkalian Kadar Faedah Dunia (WIRP).

Alat WIRP, yang digunakan oleh majoriti pedagang, meramalkan kebarangkalian 105.5 peratus penurunan kadar penanda aras oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) menjelang September nanti.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed bersedia untuk mengumumkan pengukur inflasi kegemarannya malam ini.

“Inflasi utama dan indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi teras AS dijangka menurun kepada 2.4 peratus dan 2.5 peratus pada Jun, daripada 2.6 peratus semasa Mei,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) ) akan bermesyuarat pada 1 Ogos, sambil menambah bahawa Kadar Dana Fed mungkin kekal pada 5.50 peratus.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding pound British kepada 5.9901/ 9971 daripada 6.0039/0072, meningkat berbanding euro kepada 5.0530/0590 daripada 5.0570/0597 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0176/0214 daripada 3.0598/0616 yang dicatatkan sebelumnya.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit turut menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 285.5/286.0 daripada 286.7/287.0 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4641/4684 daripada 3.4714/4735.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.99 daripada 7.95/7.96 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9069/9268 daripada 12.8875/9005 yang dicatatkan semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan