SUKAN

Bonjour! Paris tampil perasmian Sukan Olimpik 2024 unik dan luar biasa

27/07/2024 09:55 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 27 Julai (Bernama) --  Bonjour Paris! Memukau dan Bersejarah.

Perancis menampilkan upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 menakjubkan dan unik bermula dengan perarakan terapung di sepanjang Sungai Seine dan berakhir di Menara Eiffel yang ikonik malam tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).

Kawah Olimpik - belon udara panas  dinyalakan di Taman Tuileries dan naik megah ke udara, menandakan saingan sekitar 10,500 atlet bermula selama 17 hari pada temasya kali ketiga di bumi Paris selepas 1900 dan 1924.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, upacara pembukaan diadakan di luar stadium, di tengah-tengah Paris yang disaksikan oleh kira-kira 300,000 orang dari pentas, jambatan, tebing sungai dan kediaman mereka apabila 205 negara berarak menggunakan 85 bot pelbagai saiz sepanjang enam kilometer Sungai Seine.

Ini berbeza dengan pembukaan Sukan Tokyo 2020, yang diadakan pada 2021 akibat pandemik COVID-19, apabila kurang daripada 1,000 tetamu kenamaan menghadiri majlis itu di Stadium Olimpik.

Ikon pop  Amerika Syarikat, Lady Gaga, penyanyi-penulis lagu Perancis-Mali, Aya Nakamura dan bintang mega Celine Dion adalah antara artis tersohor membuat persembahan dari lokasi-lokasi indah yang berbeza dalam majlis yang berlangsung selama empat jam itu.

Ini adalah kali pertama Celine Dion membuat persembahan secara langsung sejak dia didiagnosis dengan Stiff Person Syndrom (SPS)pada tahun 2022. Ia adalah gangguan neurologi yang jarang dan kompleks yang menyebabkan kekakuan progresif dan kekejangan menyakitkan.

Nama besar lain yang turut serta dalam majlis perasmian termasuk legenda bola sepak Perancis Zinadine Zidane; bintang tenis tenis Sepanyol Rafael Nadal; legenda tenis Amerika  Syarikat Serena Williams; bekas pelari pecut Amerika Syarikat Carl Lewis, pemenang sembilan pingat emas Olimpik dan bekas gimnas Nadia Comaneci, pemenang lima kali pingat emas Olimpik.

Pengarah artistik majlis pembukaan, Thomas Jolly, menggambarkan pencapaian sejarah dan khazanah Perancis sepanjang persembahan  semasa perarakan dengan pembawa obor bertopeng berlari melintasi bumbung monumen dan jambatan terkenal ketika hujan lebat pada perarakan bot di Sungai Seine.

Walaupun cuaca hujan, acara itu bermula dengan cemerlang apabila Zidane menerima obor sukan dari pelakon-pelawak Perancis-Maghribi Jamel Debbouze di Stade de France dan meluru ke tebing Sungai Seine.

Perarakan Negara-Negara bermula dengan Greece, rumah Sukan Olimpik  zaman purba, mengetuai kontinjen di atas bot mengikut susunan abjad dengan kemuncak tuan rumah Perancis mengakhiri perarakan terapung di Trocadero.

Kontinjen Malaysia diwakili enam atlet dan empat pegawai belayar dalam bot nombor 45 bersama-sama delegasi Malawi dan Maldives dengan penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Bertrand dan Nur Shazrin turut disertai Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan  perenang Tan Rouxin.

Wakil negara tampil mempersona apabila menggayakan busana 'The Malaya' berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini.

Delegasi Malaysia turut disertai oleh ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Selepas 205 delegasi, termasuk Pasukan Olimpik Pelarian, tiba di Trocadero, esplanade berhampiran Menara Eiffel, di mana para atlet berkumpul, menyaksikan kemasukan spektakuler pembawa obor yang memakai topeng dengan menunggang kuda putih.

Selepas bendera Olimpik dinaikkan, majlis diteruskan dengan ucapan daripada presiden Jawatankuasa Penganjur Paris 2024 Tony Estanguet dan presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

Presiden Perancis Emmanuel Macron kemudian secara rasmi mengisytiharkan pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.

Majlis yang mempesonakan itu diakhiri dengan paparan laser yang menakjubkan yang menerangi Menara Eiffel dan langit malam Paris.

Atlet Malaysia yang turut bersaing di Sukan Paris adalah pemanah Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil; pemain badminton Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei; penerjun Nur Dhabitah Sabri; perenang Khiew Hoe Yan;

Pelumba berbasikal lebuh raya Nur Aisyah Mohamad Zubir, pelumba trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri; pemain golf Gavin Green dan Ashley Lau; penembak Johnathan Wong Guanjie; angkat berat Muhammad Aniq Kasdan; dan pelari pecut Muhammad Azeem Fahmi.

Malaysia, yang membuat penampilan sulung pada Sukan Melbourne 1956, telah memenangi lapan pingat perak dan lima gangsa, dengan badminton menyumbang sebahagian besar iaitu enam perak dan tiga gangsa.

Los Angeles, Amerika Syarikat, akan menjadi tuan rumah edisi Sukan Olimpik 2028.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan