DUNIA

Menteri Luar Kemboja gesa penggunaan penuh dan berkesan RCEP, FTA ASEAN

27/07/2024 12:45 PM

PHNOM PENH, 27 Julai (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Kemboja Sok Chenda Sophea menggesa penggunaan sepenuhnya dan berkesan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN untuk integrasi serantau yang lebih besar dan memberi manfaat kepada rakyat ASEAN.

Chenda Sophea, yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja, membuat kenyataan itu semasa Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN (PMC) 10+1 dengan Rakan Dialog di Vientiane, ibu negara Laos, pada Jumaat, Xinhua memetik kenyataan akhbar Kementerian Luar Kemboja.

Beliau menyatakan bahawa mempromosikan hubungan ekonomi dan memupuk perdagangan dan pelaburan di dalam dan antara rantau ini kekal sebagai tonggak utama dalam hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar.

Beliau menggalakkan penggunaan penuh dan efektif FTA sedia ada yang ASEAN miliki dengan beberapa rakan dialog dan RCEP untuk memperdalam lagi integrasi serantau dan membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat kita, kata kenyataan akhbar itu.

RCEP yang berkuat kuasa pada 2022 merangkumi 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN -- Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam -- serta lima rakan dialog iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Menurut kenyataan akhbar itu, Chenda Sophea juga menggariskan keperluan untuk ASEAN bekerjasama dengan rakan dialog lain untuk mewujudkan lebih banyak FTA dan meningkatkan akses pasaran, menyelaraskan rangka kerja kawal selia dan meningkatkan hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B).

Untuk memastikan pertumbuhan yang pesat dan berkekalan, Chenda Sophea menggesa ASEAN dan rakan dialog untuk memanfaatkan potensi besar industri baharu muncul seperti ekonomi digital, peralihan hijau, rantaian bekalan yang berdaya tahan dan pelancongan mampan.

Beliau berkata rantau yang berdaya tahan dan saling berkaitan akan memastikan ASEAN kekal sebagai pemacu utama dalam pertumbuhan serantau dan global.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan