SUKAN

Pengalaman jadi halangan Homegirls mara ke separuh akhir di Riyadh

27/07/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Hanya pengalaman membezakan pasukan HomeGirls Gladiator Gaimin dengan lawan dari Filipina  Smart OMEGA Empress selepas wakil negara itu tewas tipis 1-2 pada suku akhir Kejohanan Jemputan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) Wanita 2024, Piala Dunia E-sukan di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat.

Walaupun gagal ke separuh akhir, jurulatih pasukan HomeGirls Gladiator Gaimin Muhammad Farhan Ibrahim tetap berpuas hati dengan pencapaian dilakar anak buahnya pada penampilan sulung dalam kejohanan berlangsung di Amazon Arena Riyadh.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan kami di kejohanan ini.

“Walaupun ada di antara pemain yang baru sahaja menyertai pasukan, tetapi mereka berjaya meraih keputusan yang bagus seperti seri menentang juara bertahan dan ia satu pencapaian yang hebat.

“Tetapi untuk kejohanan berikutnya, kalau pasukan boleh naikkan keyakinan mereka, saya rasa mereka akan buat lebih baik daripada apa yang ditampilkan sekarang,” katanya kepada Bernama.

Dalam aksi yang menggunakan format ‘terbaik dari tiga’, wakil tunggal negara bermula baik apabila menang pada perlawanan pertama, namun momentum itu gagal diteruskan pada dua aksi seterusnya sekali gus meranapkan impian untuk mara ke separuh akhir.

Kekalahan itu menyaksikan HomeGirls menamatkan saingan di kedudukan lapan terbaik dan membawa pulang wang tunai berjumlah US$25,000 (RM116,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan