AM

Pindaan Akta Audit Bolehkan Metodologi Pengauditan Terkini, Dinamik

28/07/2024 10:51 AM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang diluluskan Dewan Negara pada Rabu lepas membuka lembaran baharu pelaksanaan pengauditan apabila ia memberi kuasa lebih luas kepada Ketua Audit Negara dalam memastikan kecekapan pengurusan wang awam.

Pindaan selepas kali terakhir dibuat pada 33 tahun lalu itu diyakini akan memberi impak positif terutama penggunaan metodologi pengauditan yang lebih terkini dan dinamik sesuai dengan keperluan semasa dalam era digital.

Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia) Mohd Khaidzir Shahari berkata pindaan ini membolehkan Ketua Audit Negara mengeluarkan garis panduan untuk memastikan audit dalaman dapat memberi nilai tambah dan memberikan khidmat nasihat kepada pihak yang diaudit. 

“Penambahan kuasa kepada Jabatan Audit untuk melaksanakan audit susulan selaras dengan standard audit dalaman global dengan audit susulan harus dilaksanakan dan status sama ada pihak diaudit sudah mengambil langkah-langkah diperlukan. 

“Dengan perluasan skop dan kuasa Jabatan Audit, saya yakin ia akan membawa jabatan itu ke tahap yang lebih sofistikated dengan menggunakan teknik dan kaedah pengauditan terkini termasuk penggunaan kecerdasan buatan dan data analitik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Khaidzir berkata melalui pindaan ini juga Jabatan Audit boleh melaksanakan pengauditan terhadap syarikat yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekiranya syarikat berkenaan menerima sebarang kewangan atau mendapat jaminan daripada kerajaan. 

Beliau berkata kuasa yang diberikan ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan ke arah memastikan tadbir urus koporat telah dijalankan dengan baik oleh lembaga pengarah dan pengurusan syarikat yang menerima wang awam atau diberikan jaminan oleh kerajaan.

“Ini bermakna, lembaga pengarah dan pengurusan syarikat berkenaan perlu melaksanakan tadbir urus korporat dan tatakelola yang lebih baik dan efektif kerana bukan sahaja mereka tertakluk kepada audit luar yang diwajibkan oleh Akta Syarikat, malah mereka boleh diaudit oleh Jabatan Audit merangkumi audit prestasi dan audit pematuhan,” katanya.

Sementara itu, Gabenor IIA Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa Perhubungan Awam Institut Juruaudit Dalaman Global (IIA Global) Philip Rao dalam kenyataan berkata di arena global, salah satu objektif IIA adalah untuk menyokong usaha advokasi berkaitan tadbir urus dan akauntabiliti sektor awam.

“Dalam konteks ini, pindaan akta ini bertepatan waktunya dan mencerminkan langkah positif Malaysia ke hadapan dalam hal ini. IIA Malaysia kekal komited dalam menyokong inisiatif Pejabat Ketua Audit Negara serta badan tadbir urus yang lain dalam penambahbaikan ketelusan dan akauntabiliti di Malaysia.

“IIA Malaysia percaya bahawa pindaan ini akan membuka jalan kepada rangka kerja tadbir urus yang lebih teguh dan utuh yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Akta Audit 1957 pernah dipinda pada 1978 dan 1991.

Pindaan pada 1978 berhubung keperluan pengauditan prestasi yang menekankan aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan, manakala pindaan pada 1991 bertujuan memperuntukkan kuasa untuk meminda Jadual di bawah Seksyen 11.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan