AM

Kementerian Pertahanan Harap UPNM Pastikan Kes Zulfarhan Tidak Berulang

28/07/2024 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan berharap agar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memastikan bahawa kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut universiti itu, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak berulang pada masa hadapan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata walaupun kawal selia universiti itu bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya, UPNM bertanggungjawab mengeluarkan graduan tentera dan awam untuk keperluan pertahanan negara. 

"UPNM sebagai universiti pertahanan adalah tempat kita hantar dan pastikan kadet-kadet untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

“Kampus itu terletak dalam kawasan kita dan naib canselor daripada kita. Jadi dalam hal ini kita juga beri perhatian dan kita juga sampaikan kepada pihak pengurusan universiti supaya mereka pastikan ini tidak berlaku di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan mendapati enam bekas penuntut UPNM bersalah membunuh Zulfarhan Osman tujuh tahun lepas dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

UPNM yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 21 Jun 2006 berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Bagaimanapun Mohamed Khaled percaya UPNM telah mengambil tindakan sewajarnya susulan kes berkenaan. 

"Itu berlaku pada 2017, saya percaya selepas itu tiada lagi perkara-perkara ini berlaku maknanya mungkin tindakan-tindakan sewajarnya telah diambil pihak universiti," katanya. 

Beliau berkata ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak melakukan tabiat seperti membuli, bagi memastikan persekitaran sihat dalam pembelajaran dapat diwujudkan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan