SUKAN

Paris 2024: Muhammad Azeem Harap Trek Ungu Bantu Cipta Keputusan Positif

28/07/2024 09:18 PM

SEPANG, 28 Julai (Bernama) -- Trek berwarna ungu yang julung kali digunakan pada temasya Sukan Olimpik membangkitkan keterujaan buat jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi bagi menampilkan pecutan bertenaga di venue ikonik Stade de France di Paris nanti.

Muhammad Azeem berharap trek baharu dalam stadium berkapasiti 80,000 penonton itu mampu membantunya mencatat keputusan positif pada penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij dunia itu.

“Akan berasa selesa untuk berlari di trek baharu seperti main di padang ataupun gelanggang baharu. Agak menarik, beri semangat dan teruja untuk berlari, mudah-mudahan akan ada catatan positif,” katanya.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, di sini, sebelum berlepas ke Paris, hari ini.

Saingan olahraga di pentas Olimpik kebiasaannya menggunakan trek berwarna merah bata pada edisi lepas.

Trek berwarna ungu di Stade de France itu dihasilkan oleh sebuah syarikat dari Itali yang dikatakan lebih mesra alam berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) lelaki dengan catatan 10.09 saat (s) berkata beliau akan memegang pesanan ahli keluarganya yang mahu beliau berlari dengan tenang di Paris.

“Keluarga pesan untuk buat terbaik kerana mereka tahu saya boleh lari dengan sebaiknya jika saya kekal tenang dan tidak fikir apa-apa,” katanya.

Awal bulan ini, pemenang gangsa 100m lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mengisi slot wildcard bagi acara riben biru di Sukan Olimpik kali ini.

Saingan olahraga Paris 2024 akan bermula pada 1 hingga 11 Ogos ini.

Sukan Olimpik 2024 yang membuka tirai Jumaat lepas berakhir 11 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan