AM

Hari Terakhir Kembara Riuh Ooha!, Tarik Peminat Mobile Legends

28/07/2024 11:10 PM

KUCHING, 28 Julai (Bernama) -- Hari terakhir Kembara RIUH OOHA! di bandar raya ini dimeriahkan dengan kehadiran peminat e-sukan Mobile Legends yang berpusu-pusu menunggu giliran untuk beraksi di reruai Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Menurut Pengurus Rakan Pelaksana MOONTON MLBB Adlan Abdul Rahim reruai MLBB telah menarik kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung. 

“Ini kolaborasi pertama kita bersama pihak RIUH dan kita dapati rakyat Sarawak menunjukkan minat dalam e-sukan, khususnya Mobile Legends dengan peserta yang hadir terdiri daripada pelajar sekolah hingga ke golongan dewasa.

“Setiap kali kita adakan jelajah bagi permainan ini, kita akan bawa pempengaruh serta pemain pro Mobile Legends sebagai langkah untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya ketika ditemui Bernama.

Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan itu, beliau berharap untuk terus bekerjasama dengan MyCreative Ventures bagi penganjuran Kembara RIUH seterusnya.

Mula bermain Mobile Legends sejak 2017, seorang pengunjung Harith Danial Jainuddin, 22, berkata pengisian acara sedemikian memberi peluang untuk mencungkil bakat anak muda dalam e-sukan yang semakin mendapat perhatian itu. 

“Saya dapat tahu mengenai program ini menerusi media sosial TikTok, kalau tahu lebih awal memang saya akan hadir lebih awal lagi,” katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah. 

Kembara RIUH OOHA! yang berlangsung tiga hari dari Jumaat lepas di kawasan parkir A Stadium Negeri, Petra Jaya di sini dengan kerjasama MLBB, merupakan platform kreatif yang bertujuan mempromosi pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa selain menyediakan bengkel kreatif, pameran serta persembahan.

Barisan artis tempatan yang membuat persembahan pada hari ini termasuk Nuansa Dance Troupe, The Filters, Clinton Jerome, Ella dan Noh Salleh. 

Turut hadir pada hari terakhir kembara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd Zainariah Johari dan Pengarah Penyiaran Sarawak Wan Azhan Wan Hamat. 

Bertemakan Neo-Nusantara, edisi kali ini mengetengahkan elemen tropika, futuristik dan sisi kreatif lain Sarawak dengan 50 gerai jualan barangan kreatif dan kraf tangan dibuka manakala 25 lagi mengkhusus kepada jualan makanan serta minuman.

Program Kembara RIUH telah dianjurkan di Johor Bahru pada 5 hingga 7 April dan RIUH x Hari Belia Negara di Melaka (25-26 Mei), sebelum diikuti RIUH Bah! 2.0 di Kota Kinabalu, Sabah (14-16 Sept), RIUH Ork! di Kuantan, Pahang (25-26 Okt) serta Rock N’ RIUH di Kuala Lumpur (6-8 Dis).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan