AM

Kanak-kanak Terjejas Akibat Kemiskinan - Sultan Nazrin

29/07/2024 03:58 PM

IPOH, 29 Julai (Bernama) -- Kanak-kanak dari semua agama dan latar belakang yang terjejas secara tidak seimbang akibat kemiskinan, mewakili separuh daripada mereka yang hidup dengan kurang daripada keperluan minimum, walaupun mereka hanya satu pertiga daripada populasi global.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada masa ini, kanak-kanak juga menderita secara tidak seimbang dalam krisis kemanusiaan dan situasi konflik.

Baginda bertitah pada masa ini terdapat empat juta kanak-kanak di Sudan menghadapi kekurangan zat makanan akut, manakala di Ukraine Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 3.5 juta kanak-kanak hidup di bawah tahap keperluan yang teruk, dan di Gaza separuh daripada 1.7 juta orang yang berpindah dari rumah mereka adalah kanak-kanak.

“Kanak-kanak ini kehilangan keluarga, rumah mereka, orang tersayang dan terlalu kerap terjadi secara tragiknya nyawa mereka. Malah mereka yang bertahan melepasi konflik dan kebuluran, berisiko kehilangan masa depan mereka.

“Akibat terlalu kerap, kanak-kanak yang hidup melalui situasi ini tidak mempunyai akses kepada pendidikan. Hampir semua kanak-kanak di Sudan kini tidak bersekolah; dan di Gaza, anggaran terbaharu PBB menunjukkan sekurang-kurangnya 80 peratus sekolah musnah dalam perang,” titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama : Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat, di sini, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah skala kemusnahan sedemikian rupa sehingga para cendikiawan di seluruh dunia kini mencipta perkataan baharu yang memalukan dalam leksikon manusia, iaitu scholasticide.

Baginda bertitah secara keseluruhannya pada masa ini, hampir 250 juta kanak-kanak tidak bersekolah di seluruh dunia, yang merupakan satu angka mengejutkan dan disebabkan korelasi antara kemiskinan dan penyediaan sekolah yang lemah dan ramai daripada jumlah itu berasal dari dunia Islam.

Walaupun dengan kemajuan global dalam mencapai kesaksamaan jantina, masih terdapat bilangan tidak seimbang gadis muda yang terlepas pendidikan di wilayah dalam krisis, dengan pelajar perempuan dua setengah kali lebih berkemungkinan untuk tidak bersekolah di negara yang mengalami konflik,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah tumpuan yang berterusan terhadap pendidikan wanita di Malaysia, telah menghasilkan peningkatan ketara dalam peratusan wanita yang mendaftar dalam pendidikan tinggi, daripada hanya 10 peratus pada 1950-an kepada sekitar 50 peratus sekarang.

Selain itu Baginda bertitah projek Bank Dunia di Mesir dan Nigeria telah meningkatkan latihan dan pengekalan guru, dan meningkatkan pencapaian pendidikan di negara tersebut.

Sultan Nazrin bertitah kadar celik huruf telah meningkat secara mendadak sepanjang 30 tahun yang lalu atau lebih di seluruh dunia Islam, dengan 25 negara majoriti Islam mencapai kadar celik huruf melebihi 90 peratus, yang jauh melebihi purata global pada 2018.

Oleh itu, baginda bertitah negara Islam mesti melabur dalam memberikan peluang untuk kanak-kanak di seluruh dunia, kerana mereka merupakan penyelesai masalah masa depan.

“Kita mesti mempertahankan hak setiap kanak-kanak untuk mendapat pendidikan, walaupun dalam situasi konflik dan krisis, dan kita mesti ingat bahawa ini mengenai memastikan masa depan yang lebih cerah untuk umat manusia,” titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan