AM

Penggunaan AI dalam pendidikan: Pembelajaran lebih lancar, menarik- Ahli Akademik

29/07/2024 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pendidikan membuka peluang dan ruang kepada tenaga pengajar bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran lebih lancar dan menarik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Data dan Komputeran, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Fakhitah Ridzuan berkata penggunaan AI, akan memudahkan pensyarah dalam menyediakan bahan pengajaran yang lebih interaktif, serta cadangan aktiviti sokongan yang boleh digunakan dalam penyampaian mereka.

“AI bukan sahaja memudahkan pensyarah dari segi penyusunan dan penyampaian kandungan, tetapi juga membantu pelajar memahami pembelajaran apabila cara penyampaian kandungan disesuaikan dengan keperluan mereka.

“Umumnya, sebuah kelas terdiri daripada pelbagai jenis pelajar dengan tahap kefahaman berbeza, ini menjadikan penggunaan AI semakin penting,” katanya dalam kenyataan.

Fakhitah berkata berkata dengan bantuan teknologi itu, pembelajaran akan lebih bersifat peribadi, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih relevan dan berkesan untuk setiap pelajar, dengan mengambil kira gaya pembelajaran serta tahap kefahaman mereka.

Beliau berkata AI juga boleh menganalisis prestasi pelajar secara berterusan, memberikan maklum balas cepat dan tepat, serta mencadangkan intervensi untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

“Pensyarah juga perlu memastikan teknik penilaian pembelajaran yang digunakan sesuai untuk mengukur kefahaman serta kemahiran pelajar secara objektif dan adil, selain memanfaatkan data yang diperolehi dalam membuat keputusan bagi menentukan pendidikan dan kerjaya pelajar.

“Kita kini boleh merancang akademik dan penyelidikan berdasarkan data, dan ia dapat membantu mengelakkan pembaziran kos dan sumber,” katanya. 

Fakhitah berkata pihak universiti juga perlu memainkan peranan penting, dalam memastikan pelajar memahami cara penggunaan AI yang betul serta beretika dan bertanggungjawab.

“Terdapat banyak platform AI yang mudah diakses secara bebas, yang boleh menyebabkan pelajar bergantung sepenuhnya kepada AI tanpa menggunakan pemikiran kritis mereka. AI adalah suatu alat yang boleh membantu kita, bukan mengawal kita,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kecerdasan Buatan dan Data Raya (AIBIG) UMK Dr Muhammad Akmal Remli berkata penggunaan AI, dalam ekosistem penyelidikan di institusi pengajian tinggi mampu memaksimumkan keberkesanan penyelidikan, melalui penyelesaian tugas seperti mencari kajian terdahulu, penulisan cadangan dan analisis data dengan lebih cepat.

Beliau berkata ledakan penggunaan AI juga telah diperluaskan kepada pihak industri melalui pelbagai inisiatif, dalam memaksimumkan pengeluaran, mengurangkan kos operasi, dan meningkatkan kecekapan.

“Dalam masa yang sama ada juga industri yang masih ‘old school’ dan memerlukan masa serta kepakaran dalam membuat transformasi dalam industri mereka,” katanya sambil menekankan pentingnya kerjasama erat antara universiti dan industri, untuk memanfaatkan potensi AI sepenuhnya.

Muhammad Akmal juga menekankan bahawa kemajuan pesat dalam ekosistem AI global, menawarkan peluang besar untuk institusi akademik memperhebat agenda pengantarabangsaan dengan menyediakan program akademik berdaya saing yang berfokus AI di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Institusi di Malaysia perlu memberi penekanan terhadap pendidikan dan penyelidikan berkualiti dalam AI, untuk menarik minat pelajar antarabangsa dan melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir, tetapi juga berkeperibadian baik,” katanya.

Beliau berkata impak adaptasi AI yang betul dalam jangka masa yang panjang akan membantu merancakkan pembangunan dan ekonomi negara, sekali gus dapat bersaing di peringkat global.

“Jika penggunaan teknologi AI dapat dimanfaatkan dan mempunyai acuan yang betul di semua peringkat di institusi pendidikan tinggi, kita mampu bersaing di peringkat global dalam melahirkan bakat yang maju pemikiran mereka serta mempunyai minda inovasi dan keusahawanan.

“Adalah amat merugikan jika pendidikan kita hanya mampu melahirkan pengguna AI tetapi tidak melahirkan inovator yang boleh memberi saingan kepada global,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan