AM

Rm79.7 Juta Laksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, Community Drumming Di Sabah

29/07/2024 05:14 PM

KINABATANGAN, 29 Julai  (Bernama) -- Kerajaan telah memperuntukkan RM79.7 juta setakat ini untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming di Sabah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata program berkenaan telah dilaksanakan di 71 zon yang melibatkan 219 kawasan pengedaran serta 654 point of sale atau tempat jualan.

"… ini telah memberi impak positif kepada lebih 529,948 populasi di negeri ini, manakala di Sandakan program yang melibatkan 19 zon meliputi 51 kawasan ini bukan sahaja memanfaatkan 109,314 penduduk luar bandar, tetapi juga golongan peniaga kecil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) untuk pengoperasian secara rasmi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming bagi Zon Abai, Kinabatangan, dekat sini hari ini.

Armizan berkata kerajaan memperluas pelaksanaan program berkenaan dengan menambah dua lagi zon baharu di Sabah iaitu Zon Abai, Kinabatangan dan Zon Gana, Kota Marudu.

Beliau berkata pemilihan Kampung Abai sebagai zon baharu pelaksanaan program terbabit adalah untuk memastikan 350 penduduk di kawasan itu mempunyai akses kepada barang perlu, barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi dengan harga yang sama seperti di bandar Sandakan. 

"Barangan terlibat antaranya beras, gula putih bertapis, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel ke kawasan pedalaman dan luar bandar yang tersenarai.

“Sebelum peluasan program ini, penduduk Kampung Abai memperoleh barang keperluan seperti minyak masak peket dan gula putih bertapis pada harga RM3.50 sekilogram berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85 sekilogram. Bagi LPG, penduduk membeli dengan kadar RM45 per tong, berbanding harga kawalan RM26.60 pertong," katanya.

Armizan berkata program Penyeragaman Harga bagi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming yang dilaksanakan oleh kementeriannya adalah manifestasi keprihatian Kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan rakyat di samping meningkatkan lagi keberkesanan pemberian perkhidmatan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.

Beliau berkata bagi tahun ini, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta untuk pelaksanaan program terbabit yang melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. 

"Ini melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan barang kawalan yang terpilih daripada pusat atau sumber bekalan kepada pusat penjualan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan