AM

Kempen 'One Good Habit, Love The Earth' Taiwan Excellence Galakkan Amalan Mesra Alam

29/07/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Taiwan Excellence baru-baru ini melancarkan kempen “One Good Habit, Love the Earth” yang merupakan suatu inisiatif lestari global bertujuan menggalakkan orang ramai membuat perubahan kecil dalam kehidupan harian mereka dan melaksanakan amalan mesra alam yang mudah dan efektif.

Taiwan Excellence, yang dikenali pada peringkat global sebagai mewakili produk-produk terbaik Taiwan, berkata kempen itu telah memberikan inspirasi kepada ribuan orang untuk mengambil langkah dalam melindungi alam menerusi pelbagai aktiviti luar dan dalam talian.

“Negara terlibat termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Kesatuan Eropah, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Cabaran itu menggesa peserta untuk mengambil langkah mesra alam untuk 21 hari, seperti menggunakan botol air boleh guna semula atau menutup lampu ketika meninggalkan bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, langkah kecil yang konsisten boleh mencipta amalan yang memberi impak dan penganjur berharap kempen berkenaan akan membuka laluan kepada perubahan yang lebih besar.

“Peserta di Malaysia berpeluang memenangi keseluruhan 95 hadiah menarik termasuk peralatan penutup dapur automatik daripada Yztek, peralatan pembasmi kuman mudah alih daripada Eleclean, penapis air mudah alih terkecil dunia daripada Mbran Filtra dan penjagaan kulit kepala 5α daripada Aromase,” menurut kenyataan itu.

Taiwan Excellence turut memaklumkan hadiah utama pertandingan tersebut ialah tiket dua hala Kuala Lumpur-Taipei.

“Cabaran ini terbuka kepada semua dengan tiga langkah mudah, dengan melawat laman sesawang acara di  https://bit.ly/te21dayhabit, kongsi gambar amalan mesra alam anda di Facebook atau Instagram dan jangan lupa ‘tag’ akaun Facebook atau Instagram Taiwan Excellence Malaysia dengan tanda pagar #OneGoodHabitLoveTheEarth #21DaysAction #TELoveTheEarth #My21DaysAction,” katanya.

Selain cabaran foto tersebut, Taiwan Excellence akan turut mengadakan dua acara luar pada Ogos dan September ini.

“Acara pada Ogos ialah kerjasama dengan Seeds Malaysia dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan di Sekinchan untuk menanam 50 pokok sebagai tanda melindungi bumi. Sementara itu, Eco Fair akan diadakan pada 1 Sept di Taman Botanikal Perdana dan pengunjung dialu-alukan untuk melihat sendiri produk Taiwan menerusi acara itu.

“Pengunjung turut berpeluang meraih hadiah menarik di pameran berkenaan dan Taiwan Excellence berharap aktiviti tersebut akan menyemai nilai melindungi alam sekitar dalam lebih ramai orang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara Taiwan Excellence dan penyertaan, layari laman Facebook dan Instagram rasmi Taiwan Excellence.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan