FOKUS BERNAMA

Bahana "Ulat Arkitek", Kontraktor Culas

30/07/2024 10:37 AM
Daripada Nur Natasha Aida Ismail & Hasnah Jusid

Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, raut wajah sugul seorang warga emas berusia lingkungan 70-an masih segar dalam ingatan Ar Azizul Azwar, seorang arkitek bertauliah yang banyak mengendalikan kes pemilik kediaman ditipu kontraktor dan “ulat arkitek”.

Lelaki itu datang ke firmanya untuk meminta bantuan selepas mengalami kerugian kira-kira RM2 juta akibat percayakan “ulat arkitek” atau arkitek tidak bertauliah yang diamanahkan untuk membina banglo idaman yang sehingga kini belum nampak bayangnya. 

Tambah menyedihkan, Azizul yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang itu berkata, lelaki itu yang juga seorang tauke kedai emas dari sebuah negeri di pantai timur menjadi mangsa anak angkatnya sendiri, yang dibela sejak kecil dan dilantik sebagai kontraktor projek tersebut pada tahun 2018 dengan kos asal sepatutnya hanya RM1.5 juta, tanpa perjanjian sah. 

Mungkin ramai yang tidak menyangka isu projek rumah terbengkalai bukan sahaja akibat kerakusan kontraktor yang mementingkan keuntungan semata-mata,  namun  ia juga akibat ulat arkitek yang menjadi dalang, mensasarkan golongan yang tidak mempunyai pengetahuan dalam proses dan prosedur pembinaan rumah.

“Pembayaran dia (mangsa) uruskan sendiri dengan kontraktor atas faktor talian persaudaraan. Mula-mula kontraktor minta amaun sebegini, kemudian minta lagi pembayaran berkali-kali hingga mencecah RM2 juta, sedangkan kemajuan pembinaan tak mencapai tahap sepatutnya.

“Bila sudah jadi hal sebegini barulah nak cari semula ulat arkitek dan persoalkan kenapa tidak pantau kemajuan projek, ulat arkitek tersebut pula sudah lesap, ” katanya yang memiliki sebuah firma arkitek sendiri di Melaka ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Menurut Azizul, nasib malang warga emas itu hanyalah secebis daripada kisah ramai lagi mangsa yang bertemu beliau untuk mendapatkan expert witness bagi tujuan penyediaan laporan bersesuaian untuk digunakan bagi mendapatkan keadilan di mahkamah, sekali gus mendorong beliau membuat banyak kempen kesedaran berhubung isu ini. 

 

KESAN PENGGUNAAN ULAT ARKITEK 

Senario ketika ini menyaksikan ramai yang terpedaya dengan pakej 'all-in-one'  ditawarkan kontraktor. Sebagai contoh, pembinaan rumah di atas tanah sendiri, dengan kononnya kontraktor menyediakan khidmat daripada A to Z termasuk melantik arkitek dan pereka dalaman selain klien yang tersalah melantik ulat arkitek untuk projek rumah mereka. 

"Ramai menganggap tugas arkitek hanya sebagai penyedia pelan bangunan, tak penting untuk digunakan dalam projek membina mahupun ubah suai rumah, (iaitu) lepas sedia pelan habislah tugas mereka. Maka mereka ambil langkah lantik kontraktor rumah terus dengan andaian bahawa kontraktor akan uruskan kesemuanya.

“Sudahnya, kontraktor tidak lantik arkitek pun, tidak juga mengemukakan pelan, bermakna mereka melakukan projek haram tanpa izin pihak berkuasa tempatan (PBT), ataupun kontraktor nak jimat duit, mereka lantik ulat arkitek sebab kos lebih rendah. Memang ulat arkitek ini boleh sediakan pelan, lukisan binaan, tapi mereka tak boleh menjadi Orang Utama Yang Mengemukakan ( Principal Submitting Person -PSP), tak boleh hantar pelan kepada PBT, jadi projek haramlah," katanya. 

Hanya mereka yang berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) atau Lembaga Jurukur Bahan Malaysia (BQSM) boleh bertindak sebagai PSP atau dalam kerjaya arkitek, mereka yang bergelar "Ar".

Beliau menjelaskan, apabila ulat arkitek ini dilantik, maka pelan bangunan atau perumahan tidak dapat dihantar kepada PBT memandangkan hanya arkitek profesional dengan LAM sahaja boleh berbuat demikian termasuk mengeluarkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (sijil layak menduduki), sepertimana diperuntukkan dalam Akta Arkitek 1967 dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1986.

Azizul berkata, di sinilah kontraktor tidak bertanggungjawab menunjukkan belang masing-masing dengan sesuka hati meminta bayaran daripada klien walaupun projek tidak berjalan atau kerja pembinaan tidak sama dengan pelan, kerana tahu tugas mereka tidak dipantau arkitek profesional atau konsultan.

Jelasnya, projek yang dijalankan oleh kontraktor tidak bertanggugjawab mahupun arkitek yang tidak bertauliah mendedahkan pelanggan kepada pelbagai risiko termasuk reka bentuk yang lebih rendah daripada yang dikehendaki atau ditetapkan, isu keselamatan seperti integriti struktur terjejas, liabiliti undang-undang, kemungkinan terbengkalai dan kerugian kewangan.

Kebanyakan pemillik rumah pula hanya merujuk arkitek profesional untuk mendapatkan perkhidmatan mereka selepas mengalami masalah, seperti kontraktor melarikan diri, atau pereka dalaman yang tidak berdaftar dan ulat arkitek tidak memenuhi tanggungjawab, terutamanya dalam mendapatkan kelulusan pelan bangunan.

"Kelulusan rasmi daripada agensi amat penting dalam memastikan bangunan yang dibina mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan supaya pelanggan tidak menghadapi masalah di peringkat seterusnya. Pendek kata arkitek profesional penting untuk melindungi klien daripada ditipu termasuk perlindungan undang-undang," katanya.

 

TUGAS ARKITEK 

Bukan sekadar memakai topi keselamatan berwarna putih, mengenakan but sambil memegang pelan rekaan bersaiz A1 di tapak binaan rumah dan sebagainya, tugas arkitek sebenarnya amatlah penting dalam memastikan setiap projek pembinaan berjalan lancar, iaitu sebagai PSP.

PSP bertanggungjawab memeriksa dan memantau sepanjang keseluruhan proses pembinaan dengan mengemukakan pelan kepada PBT untuk kelulusan dan memaklumkan kepada PBT apabila kerja-kerja pembinaan dimulakan.

pic-2

Lebih penting lagi, PSP bertindak sebagai penyelia kerja pembinaan di tapak untuk memastikan semua peraturan dan undang-undang yang sesuai dipatuhi, memastikan bangunan selamat diduduki, selain menasihati klien berhubung pembayaran kepada kontraktor. 

Bagaimanapun, tidak semua lepasan seni bina yang bekerja di firma arkitek boleh menjadi PSP arkitek, memandangkan hanya arkitek profesional dan berdaftar dengan LAM sahaja boleh menjadi PSP.

Mereka hanya akan diperakui oleh LAM selepas lulus tiga peringkat peperiksaan, dikenali sebagai LAM Bahagian I, II, dan III. Hanya selepas lulus peperiksaan bersama LAM-PAM Bahagian III barulah boleh menjadi ahli korporat PAM dan Arkitek profesional berdaftar dengan LAM dengan gelaran "Ar".

 

BAGAIMANA ULAT ARKITEK  “MEMBIAK?”

Namun isunya kini ialah daripada mana datangnya ulat arkitek ini?

Azizul mendedahkan bahawa kebanyakan ulat arkitek ini tidaklah 'jauh' kerana mereka adalah daripada orang-orang dalam industri sendiri, yang bertindak umpama 'gunting dalam lipatan' apabila melakukan kerja-kerja arkitek hanya berbekalkan ilmu dan pengalaman asas yang diperoleh sewaktu bekerja dalam industri. 

"Ulat arkitek ini ada banyak tempat, bergantung di mana orang cari khidmat pembinaan atau pengubahsuaian rumah. Pergi PBT ada, media sosial ada, platform penyedia khidmat pereka dalaman pun ada," katanya. 

Mereka boleh terdiri daripada arkitek yang bekerja di firma arkitek atau lepasan seni bina namun tidak mempunyai gelaran "Ar" atau mereka yang pernah bekerja dalam industri pembinaan dan tahu selok belok permohonan kelulusan PBT serta kontraktor sendiri.

“Mungkin ada kontraktor ini terdiri daripada mereka yang ada latar belakang dalam seni bina, sama ada siswazah atau sebagainya kemudian buka syarikat kontraktor, cari ulat arkitek yang boleh buat lakaran dan tandatangan pelan tetapi tidak dikemukaan kepada PBT kerana tahu prosedur yang dibuat tidak betul,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan ulat arkitek yang bersekongkol dengan kontraktor merumitkan lagi situasi berkenaan. 

"Ada juga ulat arkitek ini semakin berani dengan mengaku sebagai arkitek, tapi guna nama syarikat kontraktor, tipu tandatangan pada submission plan, beritahu klien sudah buat submission, tipu surat kelulusan PBT dan pasang papan tanda pembinaan," katanya. 

Malah, katanya, terdapat juga pegawai di Jabatan Bangunan PBT yang menjadi ulat arkitek semata-mata untuk mengaut “duit tepi” dengan menawarkan diri untuk menyediakan pelan kemudian meluluskan sendiri pelan tersebut kepada individu yang pertama kali ingin membuat permohonan.

 

MANGSA PELBAGAI LATAR BELAKANG 

Kebanyakan klien Azizul terdiri daripada pelbagai golongan termasuk penjawat awam yang membuat pinjaman menggunakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), pesara kerajaan yang ingin membuat rumah selain golongan semi profesional yang bekerja di sektor swasta. 

"Malah ada klien pasangan suami isteri 30-an yang saya temui menangis teresak-esak kerana menyesal kesilapan sendiri, tak dapatkan ilmu sebelum lantik kontraktor dan arkitek sehingga menyebabkan mereka nak makan pun duit tak ada. Duit bayar habis kontraktor, bayar sampai RM340,000. Kemajuan projek tak sampai 20 peratus,” katanya.

Kebanyakan mangsa juga, tambahnya, hanya sedar mereka ditipu apabila wang mereka semakin susut untuk membuat pembayaran kepada kontraktor, namun kerja pembinaan tidak mencapai tahap sepatutnya. 

“Dia bayar tanpa semak dengan arkitek mengenai jumlah yang patut dibayar. Kalau ada seseorang yang kawal bayaran, dia tak akan ditipu, itulah pentingnya tugas arkitek profesional yang turut meliputi skop kerja sebagai pegawai penguasa, bukan sekadar lukis pelan bangunan,” katanya. 

Menurut Azizul, ulat arkitek ini semakin berleluasa kerana kebanyakan mangsa memilih untuk tidak membuat laporan kerana malu dan sedar akan kesilapan diri sendiri, sekali gus membuatkan ulat arkitek semakin berani, lebih-lebih lagi apabila bersekongkol dengan kontraktor. 

Ditanya berapa peratus sahaja daripada mangsa yang berjaya mendapatkan semula wang mereka setelah ditipu, Azizul berkata, hampir tiada. 

“Agak susah untuk bawa mereka ke muka pengadilan kerana kadang-kadang mangsa sendiri malu buat laporan sebab malu dan sudah tahu salah sendiri. Perjanjian yang kontraktor sediakan juga tidak adil kepada pemilik rumah, bila masuk ke mahkamah, mahkamah akan tengok apa perjanjian yang ada,” katanya. 

Malah ada juga mangsa yang enggan membawa kes penipuan tersebut ke muka pengadilan kerana menyedari perlu membayar kos yang tinggi untuk mengupah peguam, di samping menuntut masa dan tenaga yang banyak, sedangkan kebanyakan mereka sudah tinggal sehelai sepinggang. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

Iklan menawarkan pembinaan dan pengubahsuaian rumah dengan konsep pakej ‘all-in-one’ ketika ini menjadi pilihan ramai pengguna, namun ramai menjadi mangsa penipuan termasuk penjawat awam, pesara dan golongan artis.

Ada pemilik mengalami kerugian hingga jutaan ringgit antaranya kerana kediaman idaman tidak siap dan tidak memenuhi spesifikasi keselamatan sehingga mencetuskan persoalan apakah sebenarnya punca isu ini. Ini laporan satu daripada tiga bahagian.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan