AM

Jangan Bimbang Kehadiran Kapal CCG Di Laut China Selatan - PM

30/07/2024 01:07 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan nelayan dan pemancing di Laut China Selatan untuk tidak bimbang dengan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG), khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.

"Jangan takut, jangan takut," katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai kegusaran nelayan tempatan di perairan Laut China Selatan mengenai kehadiran kapal-kapal berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Terdahulu media melaporkan terdapat kegusaran dalam kalangan nelayan di perairan berkenaan mengenai kehadiran kapal CCG di sekitar kawasan berkenaan yang menyukarkan nelayan dan pemancing menjalankan aktiviti mereka.

Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Kementerian Pertahanan sebelum ini berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memantau enam kawasan maritim Malaysia merangkumi Selat Melaka, Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu untuk mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang negara lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan