AM

Keselamatan Siber Malaysia Masih Lemah - PM Anwar

30/07/2024 02:00 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Aspek keselamatan siber harus diberi keutamaan memandangkan Malaysia masih berada di tahap lemah dalam perkara ini berbanding negara-negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sehubungan itu bagi menangani isu berkenaan, ia memerlukan banyak latihan, kepakaran serta jaringan dengan badan risikan siber.

Anwar berkata beberapa tindakan tegas diperlukan, antaranya peraturan yang bakal diperkenal, bertujuan mengatasi jenayah dalam talian dan buli siber, sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk pengguna.

Perdana Menteri berkata antara yang dilakukan kerajaan dalam menangani isu ini adalah dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber, dan baru-baru ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Digital Gobind Singh Deo memberi banyak tumpuan supaya keselamatan dalam talian itu dijamin untuk rakyat dalam dan luar negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.

Ahad lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata undang-undang baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentang di Parlimen Oktober ini.

Beliau berkata undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.

Sementara itu Anwar menyeru rakyat agar tidak meremehkan keperluan pertahanan negara, memandangkan ada segelintir rakyat yang dilihat berasa selesa dengan keselamatan negara berikutan keadaan yang aman, makanan mencukupi, kadar pertumbuhan ekonomi yang membanggakan, kadar pengangguran menurun dan pelaburan ke dalam negara yang meningkat.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi juga harus diberi tumpuan tanpa mengetepikan aspek keselamatan negara, termasuk berkaitan nilai dan tatakelola baik dalam pasukan keselamatan yang turut merangkumi cara perolehan yang telus, yakni aspek penting keselamatan negara.

"Kalau matlamat itu menjaga keselamatan negara maka cara perolehan itu harus bertanggungjawab. Kadang-kadang perolehan itu untuk menjamin keselamatan tetapi cara membeli itu menyebabkan terlalu banyak ketirisan, dan ini mesti dihentikan,” katanya.

Dalam isu Laut China Selatan, Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan China serta negara barat tetap baik walaupun terdapat laporan antarabangsa seolah-olah berlaku cetusan dan pelanggaran beberapa peraturan oleh China.

"Kita tidak terikut-ikut dengan kerangka diplomasi asing. Kita tentukan kepentingan dan strategi (negara) sendiri. Dalam pengalaman kita, setakat ini kita tidak hadapi ancaman yang kita anggap membimbangkan.

“Walaupun kalau kita lihat media barat itu menekankan seolah-olah ada cetusan dan pelanggaran beberapa peraturan oleh China tapi hubungan kita dengan China menunjukkan bahawa semua permasalahan boleh diselesaikan di meja rundingan secara teratur dan sopan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan