DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Seiring Pasaran Serantau

30/07/2024 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia susut setakat tengah hari Selasa, seiring dengan prestasi pasaran serantau menjelang mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.46 mata kepada 1,623.10 daripada 1,624.56 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu yang dibuka menokok 0.22 mata kepada 1,624.78, bergerak dalam julat 1,622.40 hingga 1,629.37 sepanjang sesi dagangan awal itu.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 422 berbanding 237 manakala 771 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,055 tidak diniagakan dan 89 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.42 bilion unit bernilai RM1.36 bilion.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata kebanyakan prestasi semalaman pasaran utama Amerika Syarikat (AS) mendatar ketika pelabur terus menunggu pengumuman data-data penting berkaitan pelaporan pendapatan korporat.

Faktor lain yang tidak kurang penting adalah bermulanya mesyuarat dasar Fed dengan Pengerusi bank pusat itu, Jerome Powell yang dijangka memberi petunjuk mengenai tempoh dan jumlah peratusan penurunan kadar faedah itu pada bulan-bulan akan datang.

“Di Eropah, pasaran juga kebanyakannya rendah ketika pelabur menunggu hasil pelaporan pendapatan korporat dan mesyuarat bank pusat negara-negara terbabit. Bank of England dijadual bermesyuarat minggu ini.

“Dalam perkembangan lain, pihak Bank of Japan (BoJ) akan mengadakan mesyuarat hari ini dengan pasaran menjangkakan kenaikan 0.1 peratus diumumkan oleh bank pusat itu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang keputusan BoJ dan dasar Fed selain data ekonomi AS seperti pekerjaan, keyakinan pengguna, Indeks Pengurus Pembelian, pelaporan pendapatan korporat selain pertemuan badan penggubal dasar tertinggi China minggu ini.

“Kami kekal optimis Bursa Malaysia masih mampu melepasi paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada 1,638 manakala paras rintangan pada 1,650-1,660.

“Dari sudut penurunan pula, kegagalan mengekalkan sokongan berhampiran 1,606-1,612 berkemungkinan besar akan mengheret indeks lebih rendah pada julat 1,590-1,600,” katanya.

Prestasi saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional menokok 16 sen kepada RM14.26, CIMB naik 1.0 sen kepada RM7.25, IHH Healthcare meraih 2.0 sen kepada RM6.29, Maybank susut 6.0 sen kepada RM10.14 manakala Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.23. 

Bagi saham aktif, Ekovest menambah setengah sen kepada 45 sen, Techbond Group susut 1.5 sen kepada 52 sen manakala Velocity Capital Partner, OCR Group dan Velesto Energy masing-masing mendatar pada 8.0 sen, 8.5 sen dan 22.5 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Syariah meraih 11.07 mata kepada 12,838.25 dan Indeks FBM 70 naik 8.43 mata kepada 18,655.70 manakala Indeks FBM Emas sebaliknya susut 7.28 mata kepada 12,539.27, Indeks FBMT 100 turun 6.06 mata kepada 12,128.48 dan Indeks FBM ACE menguncup 57.47 mata kepada 5,721.53.

Bagi sektor, Indeks Perladangan susut 8.80 mata kepada 7,167.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.24 mata kepada 192.62, Indeks Tenaga turun 2.15 mata kepada 963.75 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 18.19 mata kepada 18,069.68.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan