AM

Segerakan Segala Projek Pembangunan Orang Asli Yang Tertangguh Di Kuala Betis - Ahmad Zahid

30/07/2024 05:13 PM

GUA MUSANG, 30 Julai (Bernama) -- Segala projek pembangunan Orang Asli di Kuala Betis yang tertangguh sebelum ini akan disegerakan demi kepentingan Orang Asli dan penduduk di Nenggiri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Kerajaan MADANI amat komited untuk melaksanakan projek-projek pembangunan Orang Asli di kawasan berkenaan.

“Inilah asas untuk kita bina sebuah masyarakat MADANI yang bersifat ihsan, peduli dan merasakan keperitan orang miskin serta terabai.

“Majlis pecah tanah jalan tanah jalan perhubungan desa yang akan menghubungkan Kuala Betis - Pos Bihai Pos Belatim dan Pos Balar hari ini merupakan inisiatif kerajaan untuk mengarusperdanakan Orang Asli agar tidak terpinggir.

“Projek berkenaan akan memberi impak sosiaekonomi dan memanfaatkan 7,147 penduduk Orang Asli di Gua Musang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa di Kuala Betis dan Projek Mengganti Jambatan Batu 6, Nenggiri, Gua Musang hari ini.

Ahmad Zahid berkata projek-projek pembangunan Orang Asli adalah projek yang telah lama dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), dan bukannya diumumkan semata-mata menjelang PRK.

“Selain itu penghulu-penghulu dan batin (ketua komuniti) Orang Asli di sini telah lama berjumpa dengan saya sebelum ini dan mereka mengadukan pelbagai masalah pembangunan Orang Asli di Kuala Betis,” katanya.

Beliau berkata kesemua projek-projek berkenaan akan disegerakan dalam tempoh 48 bulan kerana ia telah lama tertangguh.

“Kerajaan turut meluluskan peruntukan RM11 juta bagi melaksanakan projek penggantian Jambatan batu 6, Nenggiri sepanjang 135 meter dan jalan tuju sepanjang 180 meter yang akan memberikan keselesaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau berharap agar projek-projek ini dapat meningkatkan ketersambungan dan kesalinghubungan masyarakat di sini terutamanya para guru yang sebelum ini perlu mengharungi perjalanan sejauh 60 kilometer untuk ke sekolah seperti di Pos Bihai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan