JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 1,500 Rumah Setinggan Dirobohkan Di Sabah - Jauteh

30/07/2024 06:22 PM

KOTA KINABALU, 30 Julai (Bernama) -- Lebih 1,500 rumah setinggan yang dibina di atas tanah kerajaan telah dirobohkan dalam operasi perobohan yang dijalankan di seluruh negeri setakat ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Beliau berkata operasi itu masih dijalankan dan akan dilaksanakan secara berterusan.

"Boleh dikatakan semua daerah ada setinggan dirobohkan sama ada dalam kuantiti banyak atau satu per satu. Setakat ini, kita melaksanakan operasi perobohan biasa, tetapi kalau kita menjumpai penghuninya tiada dokumen, kita akan tangkap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi Op Daulat Tanduo bertajuk "Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am: Membanteras Pengganas dan 5th Column di Kampung Tanduo" yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini.

Jauteh berkata enam objektif utama ditekankan dalam pelaksanaan operasi itu termasuk bagi menjamin keselamatan Sabah dan memastikan kawasan terbabit tidak menjadi tempat anasir buruk. 

"Selain itu, kita mahu membebaskan tanah kerajaan daripada penempatan haram, membanteras jenayah yang berlaku di kawasan ini dapat mengurangkan kadar jenayah sama ada jenayah dari segi harta benda atau narkotik," katanya.

Operasi itu katanya juga dijalankan bagi membantu kerajaan menangani isu kecurian elektrik dan air, selain usaha mengatasi masalah kekotoran sampah sarap di penempatan terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan