AM

Abang Johari Terima Anugerah Kepimpinan Teknologi

30/07/2024 08:05 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam pembangunan teknologi sektor hidrogen hijau.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang ketika acara Rangkaian Pakar MBOT dalam Teknologi, Inovasi dan Kerjasama (ENTICE) di sini hari ini.

Presiden MBOT Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir ketika mengumumkan anugerah itu berkata Abang Johari merupakan perintis dalam kemajuan teknologi di Sarawak.

“Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak telah mencapai kemajuan besar dalam sektor hidrogen hijau dengan membentuk kerjasama bagi projek yang turut merangkumi pembangunan loji hidrogen berskala besar.

“Langkah ini antara usaha penting kepada peralihan sumber tenaga mampan dan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Abang Johari menzahirkan ucapan terima kasih atas pengiktirafan itu dan berkongsi kejayaan itu dengan rakyat Sarawak.

“Saya terharu dengan pengiktirafan daripada MBOT ini. Sebenarnya ia adalah usaha bersama di pihak saya dan pasukan saya di Sarawak untuk berkerja seiring dengan dasar negara dalam meningkatkan kemahiran.

“Apa juga yang kita lakukan, saya percaya proses itu perlu efisien dan dipacu oleh kemajuan teknologi.  Apa yang kita lakukan ialah mengenal pasti sumber yang ada di Sarawak dan menambah nilai kepada sumber itu berdasarkan kepada teknologi terkini,” katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Abang Johari berkongsi tentang usaha negeri itu untuk menerajui  dalam ekonomi digital serta program kelestarian alam sekitar dan peralihan tenaga.

Beliau berkata antaranya menerusi Pusat Kecerdasan Buatan (AI) Sarawak yang memfokus kepada penyelidikan AI dan memupuk bakat tempatan serta Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) yang bertujuan menyediakan Internet kelajuan tinggi dan melonjakkan ekonomi digital. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan