AM

UNIMAS Tekankan Penyelidikan Berimpak Kepada Masyarakat, Industri

30/07/2024 04:14 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sentiasa menekankan penyelidikan yang mampu memberikan impak kepada masyarakat dan industri, selaras dengan lima fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Lima fokus itu ialah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Naib Canselor UNIMAS Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata universiti itu amat komited dalam penyediaan bakat terbaik yang berupaya memberi impak kepada Malaysia.

“Penyediaan bakat merupakan nadi kepada kewujudan mana-mana universiti awam di  Malaysia. Untuk menyokong fahaman itu, UNIMAS menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

“… ini merupakan sesuatu yang amat popular dalam kalangan orang bekerja yang mempunyai keinginan untuk meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang yang diceburi atau dalam bidang baharu yang diminati,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Hata berkata dengan mengambil pendekatan baharu seperti kelayakan mikro serta pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL), kaedah berkenaan mampu memberikan ruang kepada individu yang telah bekerja melanjutkan pengajian.

“Kaedah ini lebih fleksibel, maksudnya pengajian tanpa sepenuh masa iaitu pelajar akan mengikuti modul-modul serta kursus sedikit demi sedikit dan lama-lama akan bertindan serta boleh dikumpulkan sehingga pelajar boleh diberi pengiktirafan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Kita sedia maklum apabila seseorang itu sudah bekerja dan berkeluarga, komitmen mereka tinggi. Sebagai contoh melalui kelayakan mikro pelajar boleh fokus kepada satu model sahaja dan itu sahaja yang perlu dibayar tanpa perlu membayar yuran untuk satu semester,” katanya.

Beliau berkata pembelajaran yang fleksibel amat sesuai untuk generasi Z kerana generasi itu bakal berada dalam pasaran kerja dengan komitmen mereka berbeza daripada generasi terdahulu.

Dari segi pengantarabangsaan pendidikan tinggi, Ahmad Hata berkata UNIMAS ternyata sudah lama mengorak langkah melebarkan jaringan kolaborasi bersama institusi luar negara.

“Pada Mei lepas, UNIMAS telah memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Memorandum Perjanjian (MoA) dengan empat universiti terkemuka Uzbekistan yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Selain itu, beliau berkata UNIMAS juga sentiasa peka dengan keperluan untuk meningkatkan reputasi dan kedudukannya di peringkat global.

“Tahun ini UNIMAS berjaya tergolong dalam kelompok 300 universiti muda secara global, ranking Times Higher Education Young University Ranking 2024 dan merupakan universiti kelapan terbaik di Malaysia.

“Berbanding tahun lepas, UNIMAS berada pada jalur kedudukan antara 401 hingga 500, ternyata usaha UNIMAS dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan memberi impak yang amat berkesan terhadap mempertingkatkan kedudukan UNIMAS,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan