EKONOMI

MOT Perlu Selaras Usaha Untuk Industri Maritim Lebih Berdaya Tahan - PM Anwar

30/07/2024 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) meneraju usaha penyelarasan untuk memberikan sokongan kepada industri maritim agar menjadi kuasa kukuh dan lebih berdaya tahan.

Beliau berkata industri perkapalan perlu terus dipertimbangkan sebagai asas yang menyokong kesalinghubungan, sebagai aspek penting dalam perdagangan global.

“Pada masa ini, saya berpandangan lebih 80 peratus, iaitu hampir 90 peratus daripada eksport Malaysia dilaksanakan melalui pengangkutan laut atau industri maritim. Ini bermakna dari segi kos, ia lebih berdaya saing dan disifatkan cekap.

“Kami berbangga untuk memaklumkan bahawa Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang adalah antara pelabuhan yang akan menjadi lebih berkesan dan berdaya saing.

“Dengan sokongan daripada industri, kita dapat memastikan pelabuhan ini bukan sahaja berada di kedudukan 20 terbaik, malah boleh mencapai tangga 10 teratas,” katanya dalam ucaptama majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2024 di sini hari ini. 

Perdana Menteri berkata pelaksanaan Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) sebagai pangkalan data digital pusat dan sumber data umum adalah langkah penting ke hadapan dalam pendigitalan industri.

Anwar menekankan bahawa, sebagai negara perdagangan, dan bagi meningkatkan perdagangan asing, perairan Malaysia harus kekal sebagai pusat dan kawasan yang sentiasa mengalu-alukan semua industri maritim dan negara yang ingin terus berdagang dengan Malaysia.

Beliau berkata, menerusi Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Malaysia akan terus menjalin hubungan baik dengan negara jiran dan rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

“Tidak banyak negara yang bernasib baik seperti Malaysia, yang disifatkan mesra kepada semua negara ini, menjadi sebahagian daripada Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), mempunyai libat urus yang cemerlang dengan AS dan Eropah, dan kini meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dengan China,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa dalam pertemuan beliau dengan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov baru-baru ini, beliau berkata satu-satunya aspek yang menjadi pertimbangan untuk Malaysia menjadi sebahagian daripada organisasi antara kerajaan BRICS  (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) adalah dari segi perdagangan dan pelaburan.

“Satu-satunya yang menjadi pertimbangan pastinya adalah perdagangan, pelaburan dan untuk dipertimbangkan sebagai sebuah negara bebas yang boleh dimanfaatkan sebagai hab perdagangan antarabangsa antara Barat dan Timur.

"Kita telah melaksanakan peranan itu sebelum ini dan kita perlu benar-benar yakin untuk menentukan tindakan, keutamaan dan kepentingan strategik untuk ditakrifkan mengikut terma kita sendiri," kata Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan