AM

'Vijay LLB The Advocate' Dijangka Raih RM3 Juta

30/07/2024 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Vijay LLB The Advocate, sebuah filem Tamil tempatan yang akan ditayangkan di seluruh negara Khamis ini dijangka meraih kutipan RM3 juta.

Membawa penceritaan mengenai undang-undang dan kisah di belakang tabir kes mahkamah, filem tersebut dijangka meraih sambutan hangat penonton dengan tayangan penuh selama sebulan.

Penyampai radio Raaga, Uthaya, yang memainkan watak utama berkata anggaran kasar itu susulan penyampaian dialog dalam bahasa Tamil dan kempen pemasaran serta pengiklanan yang agresif.

Beliau berkata filem berdurasi dua jam itu dijadualkan untuk ditayangkan di 50 pawagam seluruh negara.

"Anggaran kasar ini dibuat dengan jangkaan tayangan penuh di 50 pawagam di seluruh negara. Kami berhasrat untuk menarik penonton dari semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, guru, peguam dan pelajar, untuk menonton filem ini yang berkisar pada penipuan dalam pendidikan di negara ini," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di Wisma Bernama hari ini.

Menurut Uthaya, filem yang diarahkan oleh M. Mathialagan itu, bukan sahaja menawarkan plot yang menarik tetapi juga menyampaikan mesej penting.

"Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel berdasarkan kisah benar dan merangkumi elemen tempatan. Filem ini menjanjikan pengalaman yang mendalam dan memukau.

"Walaupun tajuknya merujuk kepada dunia perundangan, Vijay LLB The Advocate menawarkan lebih daripada sekadar naratif seorang peguam, menampilkan elemen drama dan debaran yang jarang dilihat dalam karya Tamil tempatan," kata Uthaya yang juga penerbit filem berkenaan.

Plot bermula dengan pembunuhan seorang pelajar kolej dan seorang pensyarah bernama Venthan dikaitkan dengan insiden tersebut. Walaupun semua bukti dan saksi terarah kepadanya, Vijay, seorang peguam dan rakan zaman kanak-kanak Venthan merasa terdorong untuk membantu membersihkan nama sahabatnya itu.

Dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan mencapai keadilan, Vijay perlu mengharungi cabaran akibat kuasa, wang dan manipulasi untuk membebaskan Venthan daripada tuduhan pembunuhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan