AM

Kepakaran IPT Dimanfaat Untuk Majukan Sosioekonomi Sabah

31/07/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kepakaran yang ada di institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat dimanfaatkan untuk memajukan sosioekonomi masyarakat di Negeri di Bawah Bayu.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata bagi menyokong Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu (KTP) untuk memajukan sosioekonomi Sabah selaras dengan Pelan Tindakan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia (MEB), beberapa langkah dan strategi yang relevan perlu diambil.

Beliau berkata strategi itu melibatkan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, pembangunan kapasiti dan latihan, pembinaan infrastruktur dan teknologi, penyertaan komuniti dan inisiatif pendidikan.

”Universiti dan institusi penyelidikan di Sabah boleh bekerjasama dengan industri tempatan untuk menjalankan penyelidikan yang relevan dengan keperluan sosioekonomi Sabah. Hasil penyelidikan boleh dikongsi dengan komuniti Sabah untuk diaplikasikan.

”Kerjasama antara universiti dan industri dapat menghasilkan penyelidikan inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat. Penemuan baharu boleh diterapkan dalam pelbagai sektor termasuk teknologi, perubatan  dan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasim berkata melalui pemindahan teknologi pula, industri dapat mengambil manfaat daripada penyelidikan dan teknologi yang dikembangkan di institusi pendidikan selain mempercepatkan proses inovasi dan aplikasi praktikal.

Beliau berkata menerusi kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, pelajar boleh dihantar untuk latihan industri di syarikat-syarikat tempatan, sekali gus memberi mereka pengalaman praktikal dan membantu syarikat dengan tenaga kerja yang terlatih.

”Program kerjasama latihan industri boleh berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pelajar dengan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan. Malah, graduan yang berkelayakan dan berkemahiran tinggi memenuhi keperluan tenaga kerja dapat mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

”Selain itu, kerjasama dengan industri antarabangsa boleh membuka peluang kolaborasi antarabangsa, membawa masuk pelaburan dan teknologi dari luar negara ke dalam Sabah,” katanya.

Kasim berkata melalui strategi program kapasiti dan latihan pula, latihan khusus disesuaikan dengan keperluan industri tempatan dapat membantu memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran terutama dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi seperti teknologi maklumat, pertanian moden dan keusahawanan.

Beliau berkata ini dapat meningkatkan kebolehpasaran penduduk setempat dengan individu yang terlatih lebih mudah mendapatkan pekerjaan atau peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan kadar pekerjaan dalam masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

Dalam pada itu, Kasim berkata menerusi strategi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kawasan luar bandar Sabah, ia dapat merapatkan jurang ketidaksamaan dengan menyediakan akses yang sama rata kepada peluang pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan asas.

”Program inklusiviti digital memastikan bahawa semua lapisan masyarakat termasuk yang kurang bernasib baik mempunyai akses kepada teknologi dan Internet. Digitalisasi menyediakan akses yang luas kepada maklumat dan sumber, membantu komuniti di Sabah membuat keputusan yang lebih bermaklumat.

“Selain itu, digitalisasi menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi teknologi yang boleh membawa kepada penemuan dan peningkatan yang boleh dipasarkan. Digitalisasi membantu dalam mengoptimumkan rantai bekalan dan logistik, meningkatkan efisiensi dalam pengedaran barang dan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Kasim, universiti dan industri boleh bekerjasama dalam projek-projek komuniti yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat seperti program kesihatan, pendidikan dan kemahiran.

Melalui projek komuniti, ia menggalakkan penyertaan komuniti dalam projek-projek pemindahan ilmu  seperti projek pertanian komuniti atau inisiatif keusahawanan sosial.

”Sokongan kepada inisiatif keusahawanan dan inkubator perniagaan boleh membantu usahawan tempatan membangunkan perniagaan mereka, memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata menerusi inisiatif pendidikan, penyediaan program pengajian jarak jauh (PJJ) membolehkan individu dari kawasan luar bandar mendapat pendidikan tinggi tanpa perlu berpindah ke bandar.

”PJJ membolehkan pelajar menyesuaikan jadual pembelajaran mengikut keperluan peribadi dan komitmen lain seperti kerja atau tanggungjawab keluarga. PJJ memudahkan individu yang bekerja untuk terus belajar tanpa perlu berhenti kerja dan menyokong konsep pendidikan sepanjang hayat.

”Biasiswa dan bantuan kewangan pula membolehkan pelajar daripada latar belakang ekonomi yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, yang mungkin tidak mampu mereka lakukan tanpa sokongan kewangan. Ini termasuk peluang B40 untuk melangkah ke menara gading,” katanya.

Menerusi pendekatan-pendekatan itu, Kasim berkata Sabah akan dapat memajukan sosioekonominya selaras dengan MEB sekali gus memastikan ilmu dan teknologi yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan