AM

Tiada Cadangan, Perbincangan Strategi Desentralisasi Punca Kuasa Kerajaan Negeri

31/07/2024 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Tiada sebarang cadangan dan perbincangan untuk strategi desentralisasi punca kuasa kepada kerajaan negeri buat masa ini khususnya bagi Sabah dan Sarawak dalam konteks diplomasi perdagangan dan ekonomi, kata Kementerian Ekonomi hari ini.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara, kementerian tersebut berkata Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hubungan dengan organisasi antarabangsa yang mana penyertaan dalam badan antarabangsa dan pelaksanaan keputusan yang diambil dalam badan itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

“Di bawah Kawasan Pertumbuhan Asean Timur - Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), platform Ketua Menteri, Gabenor dan Ketua Forum Kerajaan Tempatan (CMGLF) telah diwujudkan bagi memberi peluang kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak menyampaikan pandangan dan cadangan berkaitan Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin tahu adakah kementerian tersebut akan mempertimbangkan strategi desentralisasi punca kuasa kepada kerajaan negeri khususnya Sabah dan Sarawak dalam konteks diplomasi perdagangan dan ekonomi.

Pertimbangan tersebut mengambil kira kedudukan geografi kedua-dua negeri yang sangat ketara dalam sub-rantau BIMP-EAGA. 

BIMP-EAGA merupakan satu platform kerjasama sub-serantau yang ditubuhkan pada 1994 meliputi keseluruhan negara Brunei Darussalam, empat buah wilayah di Indonesia iaitu Sulawesi, Kalimantan, Maluku dan Irian Jaya, dua buah negeri di Malaysia iaitu Sabah, Sarawak serta Labuan, dan dua buah wilayah di Filipina iaitu Mindanao dan Palawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan