AM

317 Kes Cubaan Bunuh Diri Diselesaikan Melalui Talian HEAL

31/07/2024 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak 317 kes cubaan bunuh diri dalam kalangan remaja dan dewasa berjaya diselesaikan setakat 20 Julai lepas sejak inisiatif talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental (HEAL) 15555 diperkenalkan pada 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Program Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE) juga berjaya mengelakkan tingkah laku bunuh diri melalui penulisan media yang berkesan.  

"Penulisan media yang baik dapat membantu pesakit mental mendapat semangat untuk pulih dan kita juga berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melakukan saringan kesihatan mental," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson W Angang yang ingin tahu inisiatif khusus untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata masalah mental memerlukan penyelesaian secara bersama antara pelbagai pihak termasuk keluarga, wakil rakyat dan masyarakat.

Beliau berkata ini penting bagi menghakis stigma masyarakat terhadap pesakit mental sekali gus menunjukkan penyakit itu boleh dirawat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas mengenai usahasama yang boleh dilaksanakan dalam bidang rawatan psikiatri, Lukanisman berkata terdapat banyak cabaran dalam pelaksanaannya.

"Antara cabarannya ialah agensi-agensi di bawah kerajaan bekerja secara ‘silo’ dengan kadang-kadang kita lihat mereka ada program menangani kesihatan mental secara bersendirian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan