AM

Penjawat Awam Perlu Terus Berikan Khidmat Profesional, Berintegriti – KSN

31/07/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Penjawat awam diingatkan untuk terus memberikan perkhidmatan dengan penuh profesional serta berintegriti terutama sekali dalam era pascanormal yang mencabar dan ketidaktentuan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata usaha berterusan juga perlu digerakkan secara konsisten untuk memaju dan membangunkan negara dengan berpegang teguh kepada ikrar profesionalisme perkhidmatan awam demi menjamin penyampaian perkhidmatan terbaik.

Beliau yang juga merupakan Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mengingatkan warga universiti itu supaya sentiasa melaksanakan penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja serta penghasilannya supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.

“Universiti mempunyai peranan yang sangat kritikal dan penting dalam usaha memastikan segala perancangan agenda kerajaan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan dan pantas.

“Melalui proses pengajian di universiti, bakat-bakat terbaik negara dilahirkan dengan prinsip dan nilai kebangsaan yang teguh,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan Anugerah Perkhidmatan UKM 2024  di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, semalam.

Pada majlis itu, 724 penerima menerima anugerah perkhidmatan merangkumi Anugerah Perkhidmatan 30 tahun, Anugerah Perkhidmatan 20 tahun dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 bagi menghargai jasa dan bakti mereka sepanjang berkhidmat di UKM.

Turut diraikan seorang kakitangan Orang Kurang Upaya (OKU) Mohd Redha Izwan Adnan yang menerima APC selain Prof Dr Siti Rozaimah Sheikh Abdullah yang mencatat rekod peribadi memperoleh APC buat kali kelima sepanjang perkhidmatannya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata anugerah perkhidmatan bukan satu pengukur pencapaian kecemerlangan yang tertinggi, namun penerima perlu terus menyumbang dengan mengupas idea bernas selain menyampaikan khidmat bakti demi kecemerlangan universiti dan masyarakat.

“Sifat inginkan kecemerlangan perlu hadir dalam diri dan jiwa setiap individu. Jadikan penganugerahan ini sebagai satu cabaran dan inspirasi kepada semua warga UKM dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua penerima agar menjadi seperti gula, walaupun telah larut dan tidak lagi wujud tapi kemanisannya tetap dapat dirasai.

“Tinggalkanlah legasi dengan memberikan perkhidmatan terbaik walau di mana sahaja anda berkhidmat. Sebagai majikan, pengurusan UKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin kecemerlangan modal insan dan kesejahteraan semua warga UKM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan