EKONOMI

KWAP Tingkatkan Pendedahan Pelaburan Asing Kepada 30 Peratus Pada 2025

31/07/2024 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang untuk meningkatkan pendedahan pelaburan antarabangsanya kepada 30 peratus pada 2025.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin berkata perkara itu dirancang walaupun pasaran tempatan menunjukkan prestasi lebih baik baru-baru ini.

Beliau berkata sehingga 2023, 24.4 peratus daripada aset pelaburan KWAP diperuntukkan di peringkat antarabangsa.

“Kami kini berada di landasan yang betul. Pasaran tempatan jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Namun, dalam jangka masa panjang, kami menyasar untuk mengimbangi pendedahan pelaburan kami kepada 70 peratus di peringkat tempatan dan 30 peratus bagi antarabangsa, yang kami yakin lebih mampan,” katanya semasa pengumuman prestasi KWAP bagi tahun kewangan 2023 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata berdasarkan purata prestasi selama 20 tahun, pelaburan antarabangsa secara konsisten memberikan pulangan yang lebih baik.

“Saya percaya hal ini penting untuk kami mempunyai penguntukan aset strategik yang lebih mampan. Itulah sebabnya kami memilih nisbah 70:30. Ketika pelaburan domestik dan antarabangsa kami semakin meningkat nilainya, bahagian pelaburan antarabangsa juga semakin berkembang,” katanya.

Hazman Hilmi berkata keputusan itu tidak melibatkan pengurangan pelaburan domestik sebaliknya KWAP meningkatkan pelaburan dalam pasaran tempatan tahun ini.

“Bagaimanapun, peratusan peningkatan itu mungkin tidak begitu ketara,” katanya.

Sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI kerajaan untuk meningkatkan pelaburan domestik, KWAP kekal sebagai pelabur penting di Malaysia, dengan 75.6 peratus daripada aset pelaburannya diperuntukkan dalam negara.

Daripada jumlah aset pelaburan itu, 87.7 peratus atau RM149 bilion adalah dalam pelaburan awam, manakala baki 12.3 peratus atau RM20.8 bilion dalam pasaran swasta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan