AM

Pertumbuhan Positif, PMks Beralih Ke Tahap Lebih Tinggi - Ewon

31/07/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia mula beralih ke tahap lebih tinggi apabila data pertumbuhan menunjukkan perkembangan positif.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9 peratus iaitu daripada 923,667 perusahaan pada tahun 2022 kepada 767,421 perusahaan pada 2023. 

Bagaimanapun, beliau berkata berlaku peningkatan bilangan perusahaan bersaiz kecil sebanyak 35.8 peratus dan bilangan perusahaan bersaiz sederhana meningkat sebanyak 7.9 peratus.

“PMKS tulang belakang dalam mana-mana ekonomi di dunia. Di Malaysia, PMKS merangkumi sebanyak 1.1 juta perusahaan atau 96.9 peratus daripada keseluruhan perniagaan pada tahun 2023,” katanya pada majlis pengumuman prestasi PMKS di ibu pejabatnya di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri KUSKOP Datuk R Ramanan, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Suriani Ahmad, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Rizal Nainy.

Mengulas lanjut, beliau berkata PMKS terus mempamerkan daya tahan dan pengukuhan pada tahun 2023 selari dengan ekonomi Malaysia secara keseluruhan meskipun berdepan dengan persekitaran luaran yang mencabar.

“Saya optimis kita akan dapat mencapai sasaran sumbangan PMKS sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 seperti ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Pada 26 Julai, DOSM memaklumkan sumbangan PMKS kepada KDNK mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada ekonomi Malaysia. 

Pertumbuhan PMKS juga mengatasi KDNK Malaysia iaitu 3.6 peratus pada 2023 dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi penyumbang utama yang merangkumi 84.8 peratus daripada KDNK PMKS.

Dalam perkembangan lain, Ewon berkata pihaknya akan melakukan dua sesi libat urus bersama komuniti PMKS bagi mendapatkan cadangan serta intervensi daripada kerajaan dalam Belanjawan 2025.

“Sesi libat urus dengan komuniti PMKS akan diadakan di Semenanjung dan Borneo untuk meminta cadangan serta bantu golongan ini mencapai prestasi lebih baik.

“Sesi 1 bersama komuniti PMKS di Semenanjung akan diadakan di Kuala Lumpur pada 6 Ogos, manakala bagi komuniti di Sabah dan Sarawak akan diadakan di Sabah pada 26 Ogos bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan