EKONOMI

Unit Yong Tai Jual Hotel Lima Bintang Di Melaka Pada Harga RM160 Juta

31/07/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Yong Tai Bhd (YTB) akan menjual hotel lima bintang Courtyard by Marriott Melaka kepada Southern Envoy Sdn Bhd pada harga RM160 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Yong Tai berkata anak syarikat milik penuhnya, Apple 99 Development Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Southern Envoy.

Ia berkata cadangan penjualan hotel itu memberi peluang kepada Yong Tai untuk membuka potensi nilai hotel itu, dan ia dijangka memberikan anggaran keuntungan proforma bersih daripada penjualan kira-kira RM45.86 juta.

“Cadangan penjualan itu akan menghasilkan RM160 juta yang digunakan oleh kumpulan, antara lain untuk membayar balik pinjaman bank sedia ada yang dibuat oleh Apple 99 dan tuntutan pembayaran kemajuan tertunggak kepada kontraktor utama, sekali gus meningkatkan tahap penggearan Yong Tai.

"Setelah selesai cadangan penjualan itu, Yong Tai dapat meningkatkan prestasi kewangannya dan merealisasikan keuntungan, sekali gus mengukuhkan aliran tunai dan kedudukan aset bersihnya," katanya.

Yong Tai berkata nilai pasaran hotel itu seperti yang dinilai oleh Nawawi Tie Leung Property Consultants Sdn Bhd, menggunakan pendekatan perbandingan dan ditambah dengan pendekatan pendapatan, berdasarkan laporan penilaiannya bertarikh 1 Jun, 2024 harganya ialah pada RM170 juta.

Sementara itu, kumpulan tersebut juga mencadangkan terbitan khas sehingga 30 peratus daripada jumlah saham biasa terbitan dalam Yong Tai, tidak termasuk saham perbendaharaan, kepada pelabur bebas yang akan dikenal pasti dan pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

Ia berkata terbitan khas yang dicadangkan itu akan melibatkan terbitan sehingga 190 juta saham baharu, yang diperoleh berdasarkan 30 peratus daripada modal terbitan yang diperbesarkan sebanyak RM843.02 juta terdiri daripada 633.50 juta saham.

"Cadangan terbitan khas itu akan membolehkan kumpulan mengumpul dana dengan lebih cepat dan dengan cara yang lebih kos efektif berbanding pilihan pengumpulan dana lain seperti terbitan prorata sekuriti," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan