DUNIA

Ringgit Meningkat Kepada Paras Tertinggi Dalam Tempoh Hampir 11 Bulan Berbanding Dolar AS

31/07/2024 08:47 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran meningkat dan ditutup di paras tertinggi dalam tempoh hampir 11 bulan pada RM4.58 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Penganalisis berkata prestasi itu didorong oleh keputusan Bank of Japan (BOJ) untuk menaikkan kadar faedah serta penurunan Kadar Dana Persekutuan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang mungkin dilaksanakan pada September.

Pada 6 petang, ringgit melonjak 315 mata asas kepada 4.5885/5925 berbanding dolar AS daripada 4.6200/6235 ketika ditutup semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata tindakan BOJ itu menandakan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi Jepun dan boleh menaikkan keyakinan pelabur terhadap mata wang negara Asia jika sentimen positif meluas ke pasaran global.

“Ini akan membawa kepada pengukuhan ringgit yang berterusan.

“Prestasi penutupan dagangan lebih tinggi di majoriti pasaran Asia hari ini adalah bukti bahawa pelabur kini mula bergerak menumpukan pasaran pesat membangun di Asia,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata kadar faedah yang menarik di Jepun mungkin menggalakkan pelabur untuk mencari hasil yang lebih tinggi di pasaran lain, termasuk di negara pesat membangun seperti Malaysia.

“Apabila pelabur mempelbagaikan portfolio mereka, aliran masuk modal ke dalam aset Malaysia boleh mengukuhkan lagi ringgit,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata seperti dijangka, BOJ menaikkan kadar dasar mereka sebanyak 15 mata asas menjadikannya 0.25 peratus.

“Mungkin peningkatan kadar BOJ dan jangkaan semakin tinggi mengenai penurunan kadar di AS akan mendorong permintaan selanjutnya terhadap mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) dijangka mengumumkan keputusan mereka malam ini dan pada masa sama kebanyakan konsensus mengunjurkan Kadar Dana Fed tidak berubah.

Beliau berkata walaupun Fed dijangka mengekalkan kadar dasarnya pada status quo, Fed mungkin mahu memberikan panduan yang jelas mengenai penurunan kadar, dengan peserta pasaran telah menetapkan kebarangkalian yang lebih tinggi bagi September.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.8875/8926 daripada 5.9427/9472 ketika ditutup semalam dan kukuh berbanding euro kepada 4.9680/9723 daripada 5.0044/0082 semalam.

Bagaimanapun, unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 3.0515/0545 daripada 2.9845/9870.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 282.1/282.5 daripada 283.3/283.7 semalam dan lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4273/4306 daripada 3.4370/4398.

Ringgit juga meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.86/7.87 daripada 7.87/7.89 namun, turun berbanding baht Thailand kepada 12.8717/8880 daripada 12.8319/8470.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan