DUNIA

Sukan Olimpik Paris Saksikan Keakraban Tidak Disangka Antara Korea Yang Terpisah

01/08/2024 01:10 AM

ISTANBUL, 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Sukan Olimpik Paris 2024 telah membawa detik-detik keceriaan jarang disaksikan antara Korea Utara dan Korea Selatan yang kini mengalami situasi hubungan yang  tegang.

Foto bersama enam atlet muda dari Korea Utara dan Korea Selatan serta China telah menjadi tular di media sosial.

Atlet berkenaan bergambar selepas memenangi pingat masing-masing dalam acara pingpong, beregu campuran, di Paris di mana Sukan Olimpik telah berlangsung sejak minggu lepas.

Pemenang pingat gangsa dari Korea Selatan, Lim Jong-hoon , dilihat berswafoto dengan lima yang lain - Shin Yu-bin dari Korea Selatan, Ri Jong Sik  dan Kim Kum Yong dari Korea Utara, serta Wang Chuqin dan Sun Yingsha dari China.

“Detik ini benar-benar mencerminkan semangat Olimpik, bersatu melalui sukan,” lapor Agensi Anadolu, yang memetik  jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying pada Rabu.

Jong-hoon dan Yu-bin memenangi gangsa, Chuqin dan Yingsha memenangi pingat emas sementara Jong Sik dan Kum Yong dari Korea Utara memenangi pingat perak.

Gambar kerjasama antara atlet muda dari kedua-dua Korea yang terbahagi ini muncul di tengah-tengah hubungan tegang antara Seoul dan Pyongyang.

Korea Utara dan Korea Selatan berada dalam perang berterusan sejak 1950-an apabila mereka mengakhiri Perang Korea dengan gencatan senjata.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kedua-dua pihak telah terlibat dalam aktiviti ketenteraan yang semakin meningkat.

Sementara Korea Selatan mempunyai hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, Korea Utara telah memperkukuh hubungannya dengan Rusia, selepas menandatangani perjanjian ketenteraan yang menggalakkan masing-masing membantu sekiranya berlaku pencerobohan oleh pihak ketiga.

Hubungan dua hala antara Seoul dan Pyongyang telah mencapai tahap rendah baharu dengan kedua-dua pihak menamatkan hampir semua hubungan dan perjanjian.

-- BERNAMA-ANADOLU AGENCY 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan