SUKAN

Paris 2024: Pasangan Korea Selatan Sekat Impian Tang Jie-Ee Wei

01/08/2024 06:18 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 31 Julai (Bernama) -- Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meninggalkan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tangisan apabila terkandas di suku akhir kepada gandingan Korea Selatan, malam ini (awal pagi Khamis di Malaysia).

Penampilan sulung gandingan negara kesembilan dunia itu terpaksa akur apbila tewas di tangan wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 19-21, 14-21 dalam masa 41 minit di Arena Porte de La Chapelle di sini.

Mereka bermula dengan prestasi bergelut pada set pertama selepas Ee Wei terjatuh ketika kedudukan 9-11 dan terpaksa meneruskan permainan dengan memakai pendakap sokongan belakang namun berjaya mengejar mata sebelum akur tewas 19-21.

Pada set kedua, rentak Tang Jie-Ee Wei serba tidak menjadi dengan pasangan Korea menguasai permainan dengan mendahului 11-1 sebelum pasangan negara cuba bangkit mengejar kepada 11-17 tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan.

Kemenangan itu menyaksikan Won Ho-Na Eun akan membuat perhitungan dengan rakan senegara Seo Seung Jae-Chae Yu Jung bagi merebut slot untuk beraksi di perlawanan akhir.

Seung Jae-Yu Jung sebelum itu hanya merlukan masa 38 minit untuk mara ke separuh akhir dengan mudah mengalahkan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 21-15, 21-10.

Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas mengejutkan pilihan kedua, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China serta menewaskan pasangan dari Singapura, Terry Hee-Jessica Tan dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Tang Jie berkata mereka tidak mampu menangani tekanan ketika turun ke gelanggang.

“Saya rasa kami sudah bersedia dengan baik tetapi di gelanggang ada bahagian yang belum cukup matang untuk menangani situasi.

“Semua orang ada tekanan tersendiri dan sama juga bagi kami untuk mengendalikannya tetapi malangnya hari ini kami tidak berjaya. Saya sangat menghargai peluang ini,” katanya sebelum sebak apabila ditanya tentang perancangan seterusnya.

Sementara itu, Ee Wei berkata dia terpaksa bermain dalam keadaan sakit di bahagian belakang selepas terjatuh tetapi tidak pasti sejauh mana tahap kecederaan itu.

“Saya rasa ini adalah pengalaman yang baik tetapi kami tidak pernah benar-benar berjaya dalam suku akhir. Tiada apa yang banyak untuk dikatakan...Tidak mudah bagi kami juga (untuk menghadapi kekalahan ini),” katanya.

Dalam aksi suku akhir lain, pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong menewaskan rakan senegara Yan Zhe-Dong Ping 21-16, 21-15 manakala pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menyingkirkan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 23-21, 21-14.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan