AM

Pelepasan Kebankrapan Beri Peluang Individu Muflis Mulakan Hidup Baharu

01/08/2024 01:13 PM

Oleh Previnna Thuraisingam & Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dilaksanakan kerajaan di bawah Prinsip Rukun Ihsan memberi nafas baharu kepada golongan bankrap dalam meneruskan kehidupan dan menguruskan kewangan dengan bijak.

Ketua Pengarah Insolvensi Selangor Pavani Kasi berkata ramai dalam kalangan mereka yang mendapat manfaat daripada inisiatif itu menzahirkan rasa syukur dan gembira serta berasa lega apabila kehidupan mereka tidak lagi berdepan dengan ‘sekatan’.

“Kita dah lepaskan ramai (golongan) bankrap di bawah Dasar Peluang Kedua. Setakat ini kita tengok ramai yang amat bersyukur dan gembira kerana dilepaskan, rasa lega kehidupan mereka berubah kerana selama ini mereka hidup dalam kebankrapan dan banyak sekatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata individu yang terjerumus dalam kebankrapan terbahagi kepada tiga kumpulan umur iaitu 25 hingga 44 tahun, 45 hingga 54 tahun serta 55 tahun dan ke atas.

Pavani berkata kebanyakan golongan muda dalam lingkungan umur 25 hingga 44 tahun diisytihar bankrap atas faktor melakukan pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit melebihi jumlah pendapatan.

“Bagi individu yang berumur 45 hingga 54 tahun serta 55 tahun dan ke atas, ia mungkin untuk memulakan satu perniagaan yang membuatkan mereka melakukan pinjaman perniagaan,” katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang dipaparkan di media sosial dan sentiasa berbelanja mengikut kemampuan serta keperluan.

Pavani turut menekankan kepentingan pendidikan pengurusan kewangan dalam kalangan orang muda bagi mengurangkan jumlah golongan tersebut menjadi bankrap.

Turut sependapat, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata dasar tersebut telah memberikan peluang kepada golongan belia yang diisytiharkan muflis untuk memulakan hidup baharu.

Ini kerana beliau berkata hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan individu muflis di negara ini terdiri daripada golongan belia berusia di bawah umur 44 tahun.

“Perlu juga ada program kesedaran dan pemantauan untuk memastikan bahawa selepas dah keluar daripada muflis dan merasai peluang kedua ini, kita tak nak dia pula patah balik dan jadi (muflis) semula,” katanya.

Selain pemantauan, Mohamad Fazli yang juga pakar kewangan pengguna turut menyarankan supaya mereka diberikan pendidikan berkaitan kewangan secara berterusan bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi Malaysia baru-baru ini memaklumkan sejumlah 142,510 pelepasan bankrap dicatatkan melalui inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dilaksanakan kerajaan, melebihi sasaran awal 130,000 kes.

Dasar Peluang Kedua, yang diumumkan Anwar pada pembentangan Bajet 2024 tahun lepas, merupakan satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dengan melepaskan mereka daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu, bermula 1 Mac 2023.

Ia menyasarkan pelepasan 130,000 orang yang diisytihar bankrap, hingga tempoh masa setahun selepas Akta A 1695 berkuat kuasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan