AM

100 Petugas Wanita Bernama Sertai Aktiviti Brisk Walk, Galak Gaya Hidup Sihat

01/08/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kira-Kira 100 petugas wanita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyertai aktiviti brisk walk yang julung kali diadakan sebagai motivasi untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus berkata program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) itu bertujuan menggalakkan aktiviti fizikal bagi meningkatkan tahap kecergasan serta kesihatan selain menggalakkan interaksi sosial sesama petugas.

Bertemakan putih dan merah jambu, beliau berkata peserta dilepaskan dari Wisma Bernama pada kira-kira 5.30 petang dan berjalan kaki hampir empat kilometer mengelilingi Tasik Titiwangsa sebelum kembali ke premis agensi berita itu.

“Walaupun aktiviti ini agak singkat tetapi sambutan dalam kalangan petugas amat menggalakkan. Insya-Allah, kita akan buat aktiviti ini setiap tahun dan mungkin kita pertimbang untuk buat di lokasi berbeza yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta program itu.

Beliau berkata peserta turut diagihkan Jalur Gemilang untuk dikibar sepanjang tempoh melakukan aktiviti itu bagi mencipta suasana meriah dan meningkatkan semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Faridah Al Akmal Mohd Salleh dari Jabatan Audit dan Pengurusan Kualiti berkata selain menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti itu juga membantu mengeratkan lagi hubungan sesama petugas dari jabatan lain.

“Sebenarnya bagus aktiviti macam ini sebab kita boleh kenal petugas jabatan lain berbanding kawan kita dari jabatan sama sebab jika tidak, kita tidak kenal petugas lain yang bekerja di Bernama,” katanya. 

Bagi Ain Suraya Mohamad Lazim dari Jabatan Komersial, aktiviti itu memberi peluang kepada semua petugas wanita yang berkelapangan untuk berkumpul dan memeriahkan majlis anjuran Benita. 

“Semestinya saya sangat gembira sebab bukan senang untuk kita hendak berkumpul bersama petugas wanita lain dari Bernama. Selalunya kita campur-campur (jantina) untuk aktiviti di Bernama tapi bila ada aktiviti khas untuk wanita seperti ini, kita amat enjoy dan happy,” katanya.

Brisk walk adalah aktiviti berjalan pantas mengikut laluan ditetapkan dan memfokus kepada intensiti sederhana yang berterusan.

Pengisian program itu melibatkan beberapa komponen untuk memastikan peserta mendapat manfaat maksimum antaranya maklumat mengenai laluan serta memanaskan badan bagi meregangkan otot dan mengelakkan kecederaan sebelum melakukan aktiviti.

Turut diselitkan aktiviti swafoto peserta dan cooling down selepas brisk walk termasuk regangan untuk membantu pemulihan otot.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan