AM

SKM Lulus RM5.7 Juta Bantuan Pembangunan Koperasi Sehingga 15 Julai

03/08/2024 04:20 PM

PENAMPANG, 3 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan RM5.7 juta bantuan pembangunan kepada 126 koperasi di seluruh negara sehingga 15 Julai tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata bantuan pembangunan SKM itu adalah untuk menampung kos peralatan serta aktiviti perniagaan koperasi.

“Pembiayaan bagi menambah modal pusingan perniagaan koperasi yang diluluskan di bawah TMPSKM (Tabung Modal Pusingan SKM) adalah berjumlah RM152.13 juta bagi permohonan daripada 96 koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) peringkat Sabah di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata Sabah telah menerima bantuan pembangunan SKM berjumlah RM1.07 juta yang memberikan manfaat kepada 10 koperasi, manakala pembiayaan TMPSKM RM1.9 juta telah diluluskan kepada tiga koperasi di negeri itu.

“Agensi KUSKOP lain seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp, SME Bank, Pernas manakala bank koperasi iaitu Bank Rakyat dan Coop Bank Pertama turut menyediakan insentif dan dana pembiayaan terbuka kepada semua entiti perniagaan termasuk koperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata KUSKOP turut melaksanakan pelbagai inisiatif terkini bagi membantu mempermudah aktiviti perniagaan koperasi dan usahawan di seluruh negeri antaranya menerusi Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU).

Ewon berkata sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi menjalankan program itu pada tahun ini, yang turut menjadi sebahagian usaha KUSKOP untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.

"Melalui program ini, orang ramai bukan sahaja berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah iaitu 20 hingga 30 peratus daripada harga biasa malah juga membantu melonjakkan pendapatan koperasi yang berperanan sebagai operator jualan.

“Sehingga 31 Julai, sebanyak 72 program JMKU dilaksanakan dengan jumlah insentif diluluskan sebanyak RM1.82 juta dan jumlah jualan direkodkan sebanyak RM6.46 juta.

"Pelaksanaan program ini memberi manfaat kepada 212,050 pengguna melalui barangan keperluan asas yang dijual oleh 230 operator jualan dilantik SKM," katanya.

Mengenai program tersebut, Ewon berkata ia merupakan manifestasi kepada usaha dan sumbangan gerakan koperasi dalam memastikannya tetap relevan sebagai sektor penyumbang kepada kekuatan sosioekonomi negara.

Bertemakan Malaysia MADANI Teras Kecemerlangan Koperasi, program dua hari berakhir esok itu mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran, jualan dan bimbingan bersama agensi KUSKOP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan