POLITIK

Surat Tuntut RM100 Juta Sudah Diserahkan Kepada ADUN Rembia - Ahmad Zahid

03/08/2024 08:00 PM

GUA MUSANG, 3 Ogos (Bernama) -- UMNO sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis bagi menuntut bayaran denda sebanyak RM100 juta berikutan tindakannya menyertai PAS.

Perkara itu disahkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Untuk ADUN Rembia, letter of demand (surat tuntutan) telah dikeluarkan kepada beliau untuk beliau membayar RM100 juta kepada BN," katanya kepada pemberita semasa program bertemu pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Kampung Jerek, di sini.

Rabu lepas, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersetuju memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta terhadap Muhammad Jailani yang diumum Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan sah menyertai PAS sejak Jun tahun lepas.

Susulan pengumuman itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata setiap wakil rakyat UMNO dan BN terikat perjanjian dan aku janji yang ditandatangani mereka di hadapan Pesuruhjaya Sumpah membabitkan bon sebanyak RM100 juta.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata calon BN bagi PRK DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani turut tidak terkecuali daripada menandatangani perjanjian dan aku janji berkenaan.

"Semua calon BN terikat dengan akuan sumpah dan juga perjanjian untuk tidak meninggalkan parti dan jika meninggalkan parti, bon yang harus dibayar adalah RM100 juta," katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos kerana keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar, melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan