POLITIK

12 Cawangan Bersatu Gua Musang Tutup, 480 Ahli Sertai UMNO - Ahmad Zahid

03/08/2024 06:47 PM

GUA MUSANG, 3 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 12 cawangan Bersatu di Gua Musang ditutup sepenuhnya, selepas 480 ahli di kesemua cawangan itu bertindak keluar parti dan menyerahkan borang keahlian UMNO, hari ini.

Borang kesemua ahli berkenaan diserahkan bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang Che Ariffin Hussin kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan keputusan mereka meninggalkan Bersatu adalah kerana telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti yang memilih bekas ahli PAS sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mewakili Perikatan Nasional (PN).

"Pemilihan Mohd Rizwadi Ismail yang merupakan bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang sebagai calon ialah taktik mengelirukan pengundi," katanya pada sidang media selepas menerima borang keahlian berkenaan ketika program bertemu pengundi di Dewan Kampung Jerek di sini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil PN Mohd Rizwadi yang bertanding menggunakan logo PAS.

Sementara itu, Che Ariffin mengesahkan dengan keputusan 480 ahli Bersatu itu keluar parti dan menyertai UMNO, kesemua 12 cawangan parti itu kini ditutup sepenuhnya.

"Saya kira semua (cawangan) itu sudah kosong," katanya pada sidang media.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos kerana keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar, melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan