JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Sabah Tahan Dua Lelaki, Rampas 1,500 Liter Diesel Dalam Op Tiris

03/08/2024 08:06 PM

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel selepas menahan dua lelaki tempatan dan merampas 1,500 liter bahan api itu semalam. 

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata kedua-dua lelaki berumur 29 dan 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa yang melakukan operasi Op Tiris di sekitar jalan Penampang pada 9.10 malam. 

Beliau berkata pasukan penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan seterusnya menahan dua kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan lori kerana disyaki berisi minyak diesel. 

"Pemeriksaan di dalam kenderaan pacuan empat roda jenama Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan jenis IBC pada bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 900 liter.

"Lori jenama Toyota Dyna pula mempunyai tangki jenis fiber di bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 600 liter ketika cuba membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata sejumlah RM43,855 nilai keseluruhan barangan disita yang merangkumi seunit tangki jenis IBC, seunit tangki jenis fiber, seunit hos getah dan dua unit mesin pam minyak.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu merupakan pemandu kenderaan yang membawa diesel berkenaan dan mereka ditahan bagi membantu siasatan.

Berdasarkan keterangan awal, Georgie berkata kedua-dua pemandu kenderaan terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.

"Modus operandi bagi aktiviti ini ialah membeli minyak diesel bersubdisi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam dan mengumpulkannya sebelum disyaki dijual kepada pihak tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga lebih tinggi," katanya. 

Georgie berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan melakukan kesalahan. 

Beliau berkata KPDN Sabah akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri itu agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan bagi barang kawalan berkenaan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti melanggar perundangan boleh menyalurkan aduan kepada kementerian, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan