AM

Kembara Jalur Gemilang Di Perlis Libatkan 14 Lokasi

03/08/2024 08:51 PM

KUALA PERLIS, 3 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri Perlis yang berlangsung hari ini dan esok melibatkan 14 lokasi, kata Pengarah Penerangan Perlis Mazli Hamdan.

Beliau berkata sebanyak lima lokasi terlibat pada hari pertama konvoi kembara itu yang bermula di Masjid Al Barokah, Arau dan berakhir di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini petang ini.

Beliau berkata pada hari kedua, konvoi kembara itu akan melalui sembilan lokasi yang bermula di Bangunan Tun Haji Abdul Razak di Kangar, kemudian ke Masjid Pauh Besar, Paya Gempol, Kampung Darat dan Masjid Nurul Husna, Wang Kelian.

"Kembara kemudian akan meneruskan perjalanan ke View Point Wang Kelian, Petronas Padang Besar dan melalui pula SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Mata Ayer dan berakhir di Kampung Baru Panggas (dekat Padang Besar) sebelum kita serah kembali Jalur Gemilang kepada Kedah melalui Sanglang.

"Saya mohon semua masyarakat yang berada di sekitar lokasi berkenaan untuk bersama-sama meluangkan masa menyambut ketibaan konvoi di sepanjang perjalanan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kembara Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini hari ini yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling.

Sementara itu, Mazli berkata terdapat 45 Komuniti MADANI di Perlis yang akan bersama-sama Jabatan Penerangan negeri melaksanakan program berkaitan sambutan Hari Kebangsaan antaranya Program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka, selain aktiviti anjuran komuniti itu sendiri.

"Mereka (Komuniti MADANI di Perlis) akan bersama-sama memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan termasuk menjayakan program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang," katanya.

Dalam pada itu, Gan berkata konvoi kembara seumpama itu akan menaikkan semangat patriotik masyarakat serta dapat menjadi pemangkin untuk generasi muda kekal sayang dan mencintai Malaysia.

"Kami tengok sambutan orang ramai di tepi jalan menyeronokkan, saya rasa semangat ini kita harus kembangkan lagi. Saya berharap kita akan kekalkan dan kukuhkan lagi semangat perpaduan dan juga keharmonian di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan