AM

Cuti Bersalin 60 Hari Pegawai Perubatan Hulu Langat Dipersetujui Ketua Klinik - JKNS

03/08/2024 10:46 PM

SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Keputusan untuk meluluskan penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari berikutan kekurangan pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Selangor telah dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan telah cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai lepas. 

Beliau berkata ia juga disebabkan beberapa pegawai perubatan yang diarahkan melapor diri ke PKD Hulu Langat telah menolak penempatan yang diberikan.

"Sekiranya langkah untuk mengehadkan tempoh cuti bersalin seperti yang dilaporkan tidak diambil, ia akan menambah bebanan kerja dan tekanan tambahan kepada para petugas kesihatan yang berkhidmat demi memenuhi keperluan kesihatan orang ramai.

"Secara prinsipnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan bahawa kelangsungan perkhidmatan kepada orang awam tidak terjejas. Ini harus dilaksanakan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, keselamatan pesakit dan kebajikan petugas kesihatan secara amnya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pihak PKD Hulu Langat juga telah terlebih dahulu mendapatkan pandangan berkaitan pengurangan cuti bersalin daripada Unit Skim Saraan dan Hubungan Pekerja Bahagian Sumber KKM pada 2023. 

Dr Ummi Kalthom berkata berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Kemudahan Cuti) Versi 1.0 (2022): Ceraian SR.5.4.1, kelayakan cuti bersalin adalah antara 60 hingga 90 hari bagi setiap kelahiran dan terdapat fleksibiliti bagi menentukan tempoh berkenaan. 

"Mengambil kira semua ini, PKD Hulu Langat telah mengambil langkah sementara untuk menetapkan tempoh cuti bersalin kepada 60 hari bagi setiap kelahiran, iaitu cuti mandatori yang minimum.

"Namun begitu, pihak PKD Hulu Langat tetap mempertimbangkan sebarang permohonan untuk mendapatkan cuti bersalin tambahan secara bersendiri, dan setiap kelulusan adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan," katanya. 

Beliau berkata PKD Hulu Langat juga telah mengadakan sesi dialog antara Pegawai Kesihatan Daerah bersama pegawai perubatan pada semalam untuk memberi penerangan berkaitan situasi semasa dan langkah-langkah penambahbaikan yang telah dijalankan di daerah berkenaan.

JKNS juga katanya sedang mengisi secepat mungkin kekosongan jawatan pegawai perubatan di peringkat PKD Hulu Langat sekali gus menyatakan komitmen untuk mencari penyelesaian yang terbaik bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan di peringkat negeri. 

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan PKD Hulu Langat menetapkan cuti bersalin selama 60 hari bagi pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan daerah itu sejak 27 Jun lepas. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan