SUKAN

Piala FA: Hatrik Safuwan Bantu Selangor Singkir Terengganu Untuk Hampiri Kejuaraan

04/08/2024 12:30 AM

PETALING JAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Selangor FC terus menyalakan harapan merangkul kejuaraan sulung dalam tempoh sembilan tahun selepas mengesahkan tempat di final Piala FA 2024/2025 dengan kemenangan 4-1 ke atas Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua di sini, malam ini.

Pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, kapten Selangor Muhammad Safuwan Baharudin muncul wira pasukan dengan jaringan hatriknya untuk memastikan Gergasi Merah menyingkirkan Terengganu menerusi agregat 6-4.

Muhammad Safuwan tidak menunggu lama untuk menceriakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium, apabila menyumbat gol pembukaan selepas menanduk masuk sepakan penjuru Yohandry Orozco pada minit ketiga.

Tiga minit berselang, pemain kebangsaan Singapura berusia 32 tahun itu menggegarkan jaring buat kali kedua selepas sekali lagi menyempurnakan sepakan penjuru Orozco untuk meletakkan skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil selesa mendahului 2-0.

Tersentak dengan dua gol di awal permainan, pasukan pelawat kendalian Tomislav Steinbruckner bangkit memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi penyudah penyerang import dari Nigeria Ismaheel Akinade pada minit ke-22 sekali gus menyamakan agregat 4-4.

Bagaimanapun, situasi itu tidak melemahkan semangat Selangor yang terus menampilkan permainan garang di babak kedua sebelum berhasil menambah jaringan apabila Muhammad Safuwan melengkapkan hatriknya menerusi rembatan deras pada minit ke-54.

Seakan perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1, Selangor menambah derita Sang Penyu apabila penyerang gantian Reziq Mohammed Saleh Banihani meledakkan gol keempat pada masa tambahan separuh masa kedua untuk mengesahkan kejayaan pasukan melangkah ke final dengan bergaya.

Selangor, juara Piala FA lima kali, bakal membuat perhitungan dengan pemenang satu lagi aksi separuh akhir esok antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada final yang dijadualkan berlangsung 24 Ogos ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selangor kini melalui kemarau kejuaraan selepas kali terakhir menikmati kejayaan dengan memenangi Piala Malaysia 2015.

Kali terakhir Selangor menjuarai Piala FA adalah pada tahun 2009 selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti dan kali terakhir mara ke final adalah pada edisi 2018 yang menyaksikan mereka tewas 0-2 di tangan Pahang.

Dalam pada itu, peminat Selangor malam ini diceriakan dengan kelibat pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim yang membuat kemunculan dalam sesi pemanas badan menjelang sepak mula perlawanan di sini, selain turut berada dalam senarai pemain simpanan.

Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di sini, awal Mei lepas, dilihat memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan