AM

Taman Sri Muda Terima Rumah Pam Baharu, Kurangkan Risiko Banjir Besar - Exco

05/08/2024 02:27 PM

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Projek Rumah Pam Taman Sri Muda telah siap sepenuhnya dengan penambahan tiga unit pam skru, yang dijangka mampu mengurangkan risiko banjir besar di kawasan berkenaan. 

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata infrastruktur bernilai RM7.1 juta yang mula dibina pada 2021 itu dapat meningkatkan penyaliran air lima kali ganda lebih pantas berbanding kapasiti sebelumnya. 

“Sri Muda ini kawasan yang rendah dan menerima air yang banyak (sekiranya hujan lebat) dan ini adalah salah satu daripada projek mitigasi banjir yang kita laksanakan di peringkat negeri yang telah siap sepenuhnya. 

“Kelebihan pam skru ini ialah kapasitinya yang lebih laju untuk mengepam, dan ia tidak akan tersangkut dengan sampah sarap berbanding pam yang konvensional, dan ia sangat sesuai untuk beroperasi dalam masa yang panjang,” katanya selepas merasmikan Rumah Pam berkenaan di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja. 

Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini merupakan antara lokasi yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda daerah ini pada Disember 2021 lepas. 

Sementara itu Izham berkata kerajaan negeri juga telah membuat permohonan kepada pentadbiran persekutuan bagi dua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang mendesak iaitu RTB Langat 2 dan RTB Sungai Buloh Fasa 2.

Beliau berkata kedua-dua projek berkenaan melibatkan kos perbelanjaan sehingga RM1.2 billion dengan jangka masa lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan