AM

Orang Asli Kuala Lah Mohon Kerajaan Bina Sistem Saliran, Tempat Beriadah

05/08/2024 05:26 PM

GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Lah memohon agar kerajaan membina sistem saliran yang baik bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang sering melanda kawasan berkenaan apabila hujan.

Batin Kampung Kuala Lah, Ali Lateh berkata kejadian banjir biasanya berlaku berdekatan dengan dewan serbaguna yang menyukarkan laluan untuk komuniti melalui jalan masuk ke kampung berkenaan.

"Biasanya jika hujan lebat berterusan seharian, air akan melimpah ke paras buku lali, dan sepatutnya air perlu mengalir ke Sungai Ular yang berhampiran.

"Kejadian banjir kilat ini dikatakan berlaku selepas pembinaan 'culvert' di tengah jalan tidak mempunyai pengurusan saliran dan bagi mengatasinya, longkang sebagai saliran perlu dibina," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata keadaan banjir kilat menyukarkan kenderaan termasuk kereta dan motosikal yang melalui jalan berkenaan.

Sementara itu seorang penduduk tempatan Atan Jusoh, 35, pula memohon pihak berkuasa untuk membina sebuah taman permainan sekitar kawasan kampung berkenaan, memandangkan kanak-kanak Orang Asli kawasan ini tidak mempunyai tempat khas untuk mereka bermain dan berekreasi.

"Sekarang ada lebih 50 kanak-kanak di Kampung Kuala Lah ini dan mereka memerlukan tempat khas untuk bermain pada awal pagi dan petang, manakala penduduk dewasa pula boleh berjoging dan beriadah bersama keluarga," katanya.

Sementara itu Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata pihaknya ada menerima aduan berkenaan banjir kilat, serta permohonan untuk mewujudkan tempat permainan kanak-kanak, dan sedang menimbangkanya.

"Pasukan kami sentiasa memantau Kampung Kuala Lah memandangkan ia mudah diakses dengan kenderaan biasa, yang mana setiap minggu kami masuk melihat perusahaan cendawan kelabu tiram, serai, terung, cili dan cadangan penternakan ikan talapia. 

"Bagi cadangan penyediaan taman kanak-kanak pula, perkara itu boleh diusulkan cuma kita berharap apabila ia wujud nanti, komuniti perlu bekerjasama menjaganya terutama bagi kerja-kerja pembersihan bagi mengelak ia mudah rosak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan