EKONOMI

Malaysia 5 Negara Teratas APAC Ramai Pengguna Terjejas Ancaman Dalam Talian

05/08/2024 05:41 PM

Daripada Danni Haizal Danial Donald

NEGOMBO (Sri Lanka), 5 Ogos (Bernama) -- Malaysia adalah antara lima negara teratas di rantau Asia Pasifik (APAC) yang mencatatkan pengguna paling ramai terjejas dengan ancaman secara dalam talian, kata syarikat keselamatan siber global Kaspersky.

Menurutnya, lebih daripada suku bilion ancaman dalam talian dikesan di rantau berkenaan bagi tempoh Januari hingga Julai 2024.

Pengarah Pasukan Penyelidikan dan Analisis Global Kaspersky, Igor Kuznetsov berkata ancaman dalam talian merujuk kepada pengguna yang menghadapi ancaman dalam talian melalui muat turun daripada Internet dan pancing data secara dalam talian.

Beliau berkata Filipina mendahului senarai itu yang melibatkan sejumlah 39.4 peratus pengguna terjejas.

“Ini diikuti oleh Nepal (36.8 peratus), Sri Lanka (34.9) peratus, Malaysia di tempat keempat iaitu 31.4 peratus dan New Zealand (30.9 peratus),” katanya dalam sesi pembentangan pada Minggu Keselamatan Siber Kaspersky APAC 2024 di sini hari ini.

Kuznetsov berkata Kaspersky turut mengesan lebih 340 juta ancaman tempatan, yang merujuk kepada pengesanan menerusi muat turun fail daripada media luaran seperti pemacu pena di komputer atau peranti mudah alih.

“Mengenai pengguna yang terjejas dengan ancaman tempatan yang dikesan pada peranti mudah alih, Myanmar mendahului senarai dan menduduki tempat kelapan di peringkat global dengan mencatat 49.8 peratus, diikuti Vietnam (46.1 peratus), China (43.8 peratus), Nepal (43.8 peratus) dan Laos ( 40.4 peratus),” katanya.

Kuznetsov berkata antara ancaman yang dikesan adalah melibatkan lebih dua juta pencuri kata laluan, lebih sejuta serangan perisian tebusan, dan lebih 7.5 juta melalui pintu belakang.

"Melalui ancaman dalam talian ini, kami menghalang lebih 60 juta serangan RDP (protokol desktop jauh)," katanya.

Sementara itu, menurut Kaspersky, kira-kira 22 peratus pengguna di APAC berdepan ancaman mudah alih, dengan lebih 16 peratus daripadanya adalah pencuri kata laluan mudah alih.

“Kira-kira 15 peratus daripada 16 peratus itu adalah trojan bank. Ini bererti mereka (pencuri) boleh mencuri wang daripada pengguna.

“Daripada semua pengesanan untuk tahun ini, kebanyakannya dari Taiwan iaitu 51.67 peratus, diikuti China (17.04 peratus) dan India (9.88 peratus),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan