AM

PRK Nenggiri: SPR keluarkan 43 kertas undi pos

05/08/2024 06:27 PM

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 43 kertas undi pos kepada individu yang berhak mengundi secara pos pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata 41 kertas undi pos Kategori 1A dikeluarkan untuk petugas pilihan raya dan anggota polis manakala dua undi pos Kategori 1C untuk agensi dan organisasi.

“Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos (untuk mereka). Oleh itu tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 13 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 17 Ogos ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

PRK Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

SPR menetapkan hari mengundi bagi PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan