EKONOMI

MATRADE Sasar 250 Pembeli Dengan Potensi Perjanjian Perniagaan RM1 Bilion Di INSP MIHAS 2024

06/08/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 250 pembeli antarabangsa bagi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sebanyak 250 pembeli antarabangsa merangkumi 20 pembeli premium dari 40 negara, dijangka berpotensi menghasilkan nilai perolehan melebihi RM1 bilion.

“Rangkaian global kami yang terdiri daripada 49 pejabat perdagangan telah berjaya menarik penyertaan pembeli antarabangsa terkemuka, menunjukkan pentingnya acara ini yang semakin meningkat dalam pasaran halal global,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

INSP merupakan acara padanan perniagaan utama MATRADE yang dianjurkan setiap tahun bersempena dengan MIHAS 2024.

Menurut MATRADE, sesi fizikal INSP MIHAS 2024 akan diadakan pada 18 September, 2024 di Menara MATRADE bersempena dengan MIHAS 2024 yang akan berlangsung dari 17 hingga 20 September, 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Secara keseluruhan, INSP MIHAS 2024 dianjurkan dalam mod hibrid, dengan sesi maya berlangsung dari 15 Februari hingga 30 November, 2024, kata MATRADE.

Mengenai 250 pembeli antarabangsa, Mohd Mustafa berkata ia termasuk dari Eropah, Asia Selatan, China dan Asia Timur Laut, Asia Tengah dan Amerika, manakala 20 pembeli premium mewakili gergasi industri seperti pasar raya besar dan peruncit dengan cawangan di seluruh negara dari Amerika Syarikat (AS), India, United Kingdom, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan, dan Uzbekistan.

"Pembeli-pembeli ini secara keseluruhannya menjana pendapatan lebih daripada US$60 bilion (US$1=RM4.42) pada 2023," katanya sambil menambah potensi perjanjian perniagaan bernilai RM1 bilion, jika berjaya diperoleh akan memberi impak yang besar kepada ekonomi domestik, seperti menyokong pengeksport dalam mencipta peluang pekerjaan.

Mohd Mustafa berkata INSP MIHAS 2024 dijangka memudahkan sekurang-kurangnya 2,500 sesi padanan perniagaan, memupuk perkongsian baharu dan mengembangkan akses pasaran untuk perniagaan Malaysia.

"Program ini berperanan penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa, mengembangkan akses pasaran untuk perniagaan Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan global yang mampan.

"Ia merupakan komponen penting dalam usaha kami untuk menempatkan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekosistem halal antarabangsa," tambahnya.

Program INSP MIHAS 2024 akan menekankan kepakaran Malaysia dalam 20 sektor yang pelbagai, seperti hasil pertanian, produk minyak sawit, perkhidmatan kewangan Islam, serta makanan dan minuman.

INSP edisi 2023 merekodkan jualan RM1.31 bilion daripada pembeli asing di 44 negara, manakala format hibrid, yang menggabungkan sesi eBizMatch maya dengan acara fizikal, terbukti sangat berkesan dalam menghubungkan penjual Malaysia dengan pembeli antarabangsa.

INSP maya yang dianjurkan pada 2023 menyaksikan penyertaan 344 penjual Malaysia dan 270 pembeli asing dari 44 negara, manakala acara fizikal menarik 469 penjual Malaysia dan 231 pembeli asing termasuk 11 pembeli premium.

Pendaftaran untuk penyertaan dalam INSP 2024, sama ada secara maya atau fizikal, boleh dilengkapkan melalui https://mihas.com.my/international_sourcing_programme.php Peserta juga boleh mendapatkan bantuan daripada Sekretariat INSP MIHAS melalui inspmihas@matrade.gov.my

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MIHAS 2024, sila lawati : https://mihas.com.my/

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan